Pejuang reformasi umumnya berasa agak kesal dengan laporan malaysiakini yang menunjukkan etika kewartawanannya hanya setanding dengan wartawan Utusan Malaysia apabila menyampaikan berita mengenai isu percantuman Keadilan-Parti Rakyat Malaysia.

Sayugia diingatkan, isu ini menarik hampir semua peringkat akar umbi pejuang reformasi yang mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku yang membolehkan mereka mengetahui sebarang laporan berita yang tidak jujur yang dibuat oleh malaysiakini .

Laporan 'Penentang gabungan Keadilan-PRM boleh kena tindakan' (26 Jun) adalah satu imaginasi yang membayangkan seolah-olah Parti Keadilan Nasional sebuah parti bersifat autokratik yang menolak perbezaan pendapat di kalangan ahli-ahlinya.

Rujukan terhadap Setiausaha Agung Keadilan, Mohd Anuar Tahir dan kenyataan beliau pada 27 Jun yang menafikan beliau ada membuat kenyataan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli yang tidak bersetuju terhadap usaha percantuman Keadilan-PRM mengesahkan bahawa malaysiakini seolah-olah berusaha untuk memburukkan kepimpinan Keadilan.

Adalah lebih malang lagi apabila kenyataan media Mohd Anuar pada 27 Jun melahirkan satu lagi berita sensasi, 'Anuar nafi tolak gabungan Keadilan-PRM' (Jun 27) - kononnya ada penafian daripada setiausaha agung itu terhadap isu mesyuarat kumpulan 11 di Pusat Latihan ABIM di Kajang beberapa jam selepas perhimpunan agung khas Keadilan berakhir pada 24 Jun.

Pemberitaan secara 'serkap jarang' ini amat berbahaya dan boleh merendahkan kredibiliti malaysiakini yang telah menjadi rujukan ramai pembaca di Malaysia.

Kononnya malaysiakini mendapat maklumat dari sumber-sumber yang rapat dengan pemimpin tertinggi parti itu bahawa wujud mesyuarat sulit 'kumpulan pro-Abim', jelas berniat jahat yang boleh merosakkan nama baik Keadilan.

Ramai pemerhati yang menghadiri mesyuarat agung itu jelas menunjukkan pihak yang tidak bersetuju terhadap idea percantuman Keadilan-PRM terdiri daripada pelbagai latar belakang dan menyeluruh.

Bagaimanapun, perwakilan menyokong idea percantuman itu setelah surat Anwar Ibrahim diedarkan. Ia juga disokong oleh ucapan penggulungan Dr Chandra Muzaffar yang membayangkan pimpinan tertinggi parti akan berasa malu andainya idea itu yang diusulkan oleh pimpinan parti ditolak oleh mereka.

Usaha memburukkan atau membabitkan Abim amat berbahaya dan boleh menyumbang ke arah kemusnahan parti. Apatah lagi memang diketahui umum, kumpulan Abim cukup sentimental kerana ia bertanggungjawab melahirkan Parti Keadilan Nasional pada 4 April, 1999.

Tidak dapat dinafikan kumpulan Abim yang mempunyai rangkaian hubungan di semua pelusuk tanahair telah berjaya membuat perubahan dalam politik negara. Berkat usaha mereka dalam masa yang cukup terbatas dan kritikal, ia berjaya mewujudkan Parti Keadilan Nasional.

Ramai pemerhati bimbang, serangan tanpa asas terhadap Abim akan menyebabkan Keadilan akan kehilangan sokongan 'tunjang yang mantap' yang dalam parti itu.

Ramai pemerhati di peringkat akar umbi yang amat mencintai Keadilan begitu bimbang dengan pihak yang cuba menggunakan media, baik media pemerintah mahupun media alternatif seperti malaysiakini dan Berita Keadilan .

Sewajarnya pemberitaan media alternatif seperti dua penerbitan itu menghormati perbezaan pendapat di kalangan ahli Keadilan. Ini kerana mereka tahu benar tidak akan ada tindakan disiplin bakal diambil terhadap mereka yang berbeza pendapat. Pemberitaan yang kurang tepat dan salah itu amatlah kami kesali.

Rata-rata penyokong akar umbi Parti Keadilan Nasional tidak mahu isu percantuman Keadilan-PRM memecahkan perpaduan parti kerana Barisan Alternatif mempunyai matlamat penting yang masih belum ditangani secara sempurna.

Pembabitan media alternatif yang mungkin didalangi oleh orang-orang yang begitu taksub dengan idea percantuman, jika benar ada sumber dari dalam parti, sehingga sanggup menggunakan kaedah Machiavelli adalah amat memalukan.

Penyelewengan berita dalam media harapan, seperti malaysiakini , akan mengelirukan serta memudharatkan keyakinan rakyat.