Saya ingin meluahkan rasa kesal berhubung tuduhan terhadap dua aktivis pelajar Universiti Sains Malaysia oleh Hal Ehwal Pelajar universiti itu. Tindakan seumpama itu jelas sekali mencabuli hak asasi seseorang untuk menyatakan pendapat.

Tindakan ini menunjukkan wujud ketidakadilan yang semakin parah dalam sistem undang-undang di Malaysia sehingga merebak ke sebuah gedung ilmu.

Minggu lepas, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara telah dibuang serta merta daripada hanya kerana menghadiri perhimpuan bagi membantah Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA). Apakah salah seseorang pelajar menyatakan pendapatnya melalui penyertaannya pada perhimpunan atau dengan mengedar lencana anti-ISA?

Ini jelas sekali menunjukkan kebebasan fikiran mahasiswa yang selama ini dinanti-nanti untuk didengar oleh rakyat dihalang oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang jumud serta ketingalan zaman.

Kerajaan jelas sekali menggunakan Auku sebagai alat untuk 'membalas dendam' dan 'merotan' aktivis-aktivis pelajar yang menampakkan belangnya untuk mengkritik kerajaan. Bakat kepimpinan yang ada pada mereka dimusnahkan oleh Auku.

Malah saya percaya selepas ini larian yang akan bakal diadakan di USM bagi memperingati 'hari hitam keadilan - 3 Julai' juga boleh menjadi sasaran akta universiti juga. Pelajar-pelajar yang berpakaian hitam itu (sebagai simbol bantahan) pasti akan dianggap seolah-oleh 'pengganas' di kalangan mahasiswa.

Mereka dilabelkan begitu supaya kumpulan mahasiswa yang menyokong kerajaan akan berjaya kembali menerajui universiti awam.

Namun Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPPUUM) sentiasa menyokong penuh apa saja tindakan pelajar untuk mencari keadilan yang hakiki di Malaysia ini.

Berjuanglah mahasiswa jangan takut pada Auku atau ISA. Bila lagi kita hendak menyatakan pendapat kita, jika tidak sekarang?

* Nota Editor

: Dalam e-mel bertarikh 30 Jun, 2001, Husnul Hadi menafikan bahawa surat di atas ditulis olehnya ([#3] Husnul Hadi nafi tulis surat kepada m'kini [/#]