Saya, Husnul Hadi Halim, Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPPUUM) menafikan pernah membuat sebarang kenyataan dalam Malaysiakini.com bertajuk 'Siswa, jangan takut akta universiti' (Jun 30).

Saya berasa kecewa, kesal dan marah bagaimana suatu kenyataan yang tidak pernah saya buat telah disiarkan oleh Malaysiakini.com.

Penerbitan surat itu - membabitkan nama saya sebagai Naib Yang Dipertua majlis itu - telah menjejaskan nama baik saya, dan mahasiwa UUM umumnya.

Kenyataan ini telah menyebabkan saya dalam keadaan sukar kerana boleh didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Akta Hasutan.

Saya amat berharap Malaysiakini.com dapat menarik balik penyiaran surat tersebut dan meminta maaf kepada saya berhubung penyiaran surat tersebut.

Nota Editor

: Malaysiakini.com memohon maaf atas kesulitan yang ditimbulkan akibat penyiaran surat itu dan dimaklumkan bahawa surat - yang menggunakan nama penulis dan jawatannya seperti tersebut - tidak harus dikaitkan dengan apa cara sekalipun dengan penulis itu dan MPPUUM .