Sensasi DTC dan 'gerakan militan'
Insiden kebakaran di Dewan Tuanku Canselor (DTC) Universiti Malaya dan makmal komputer di UPM memperlihatkan kepada kita seolah-olah wujud satu agenda yang ingin memberitahu rakyat tentang kewujudan mahasiswa militan. Apakah benar mahasiswa militan wujud di negara kita?
Tidak sukar untuk mengagak apa tujuan pihak tertentu untuk mengaitkan insiden kebakaran di DTC, UM dan makmal komputer di UPM dengan mahasiswa militan. Kemungkinan selepas ini akan berlaku lagi kebakaran terancang di IPT lain di seluruh negara untuk menggambarkan betapa seriusnya kacau-bilau yang dilakukan oleh mahasiswa militan.
Selepas ini, Gamis dan lain-lain pemimpin mahasiswa yang pro-pembangkang akan menjadi 'kambing hitam' dan ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Sekaligus membolehkan mereka menggunakan akta-akta yang kejam dan lapuk itu ke atas musuh-musuh politik mereka.
Menahan atau menangkap pemimpin mahasiswa ini di bawah ISA kerana melakukan demonstrasi bukanlah satu alasan yang kukuh dan sudah tentu mendapat tentangan hebat daripada rakyat.
Mahasiswa militanlah yang boleh dijadikan penyebab atau alasan konkrit untuk menahan pemimpin-pemimpin mahasiswa ini di bawah ISA. Seterusnya golongan durjana ini akan meletakkan boneka-boneka mereka sebagai pemimpin-pemimpin mahasiswa yang baru di IPT-IPT tempatan.
Kebangkitan mahasiswa dalam senario politik tanah air dewasa ini cukup menakutkan Dr Mahathir dan konco-konconya. Salah satu tujuan beliau melantik bekas setiausaha politiknya, Aziz Shamsuddin sebagai Timbalan Menteri Pendidikan adalah untuk membendung gelombang kebangkitan mahasiswa.
Nyata, usahanya belum lagi berhasil dan Aziz sendiri terpaksa berdepan dengan kemarahan guru-guru berikutan kenyataan terbukanya meminta guru-guru wanita supaya merancang bila hendak mengandung dan beranak.
Dr Mahathir semakin kecut apabila mendengar kenyataan Hishamuddin Hussein bahawa kebanyakan pemimpin mahasiswa adalah pro-pembangkang. Maka mulalah beliau mencanangkan kepada rakyat, prestasi akademik mahasiswa IPT merosot kerana mereka terlalu memberi tumpuan kepada politik dan bukan disebabkan mereka malas belajar, sibuk bercinta, berfoya-foya dan sebagainya.
Isu kuota kemasukan bumiputera ke IPTA pula dijajanya ke sana dan ke sini bagi menguatkan hujah-hujah songsangnya. Kedengaranlah kepada kita ungkapan Melayu malas, Melayu lupa dan macam-macam lagi kata nista yang dilemparkan kepada bangsa Melayu termasuklah yang cukup popular iaitu 'haprak' dan ianya disambut dengan tepukan gemuruh oleh perwakilan Umno dan penyokong-penyokong Umno.
Dr Mahathir sendiri sudah lupa bahawa bukan sahaja mahasiswa universiti yang menentang beliau. Malah tukang kebun, tukang sapu di universiti juga menyertai barisan ulama, golongan professional, pak-pak hakim, orang-orang kampung, golongan peneroka, imam-imam dan tok siak-tok siak masjid, cikgu-cikgu hatta kepada murid-murid tadika juga menentang pemerintahan beliau.
Rakyat sudah mula muak dengan pemerintahan Dr Mahathir kerana negara kini sedang sakit kronik dengan pelbagai macam masalah seperti politik yang tidak stabil, kemelesetan ekonomi, pengangguran, harga barang-barang naik, pembaziran (tukar logo Petronas makan berjuta-juta ringgit), kegagalan penswastaan (MAS, TNB dan Perwaja) rasuah, gejala sosial, kehancuran kredibiliti institusi kehakiman dan polis, politik wang, kronisme, ketegangan kaum, pencerobohan sempadan oleh puak Abu Sayyaf dan macam-macam lagi.
Dr Mahathir cuba memberikan sebijik panadol sebagai ikhtiar mengubat penyakit tersebut dengan mewar-warkan dasar luar negara tentang Iraq, Palestine, negara-negara Selatan dan lain-lain isu yang tidak ada kena-mengena dengan negara kita.
Ura-ura kerajaan untuk menaikkan kadar tambang jemaah haji juga telah menimbulkan kemarahan rakyat khususnya yang beragama Islam. Sepatutnya kerajaan membentangkan kertas putih di parlimen tentang berapa banyak keuntungan dan kerugian yang diperolehi oleh Tabung Haji. Berapa dan di mana pelaburannya, berapa kadar tambang mengerjakan haji dan sebagainya.
Sepatutnya kerajaan perlu jelaskan dengan terperinci di parlimen. Maka barulah dibuat usul menentang atau menyokong kenaikan tambang jemaah haji. Siarkan secara langsung di kaca TV. Maka barulah rakyat tahu siapa yang benar-benar memperjuangkan kebajikan rakyat.
Dr Mahathir kini di dalam dilema. Meletakkan jawatan atau dipaksa meletakkan jawatan. Ingatlah bahawa rakyat tidak mudah lupa dengan pelbagai kerenah yang dilakukan oleh beliau.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.