ERA Consumer membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak polis menangkap Saudara Khairul Anuar di bawah ISA. Tindakan menangkap seorang pelajar dengan menggunakan akta zalim ini adalah satu tindakan yang kejam.

Para pelajar selama ini telah dikongkong di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang melarang pelajar melibatkan diri dalam aktiviti politik dan kemasyarakatan.

Ini telah melahirkan satu generasi masyarakat yang hanya mengutamakan kepentingan materialistik dan kepentingan sendiri. Ia telah mewujudkan suatu 'budaya takut' di kalangan mahasiswa dan satu golongan yang tidak berani mempersoalkan ketidakadilan dan penindasan yang berlaku terhadap masyarakat.

Hanya segelintir pelajar sahaja yang memberanikan diri, yang keluar dari cengkaman pihak pemerintah lalu mempersoalkan penindasan yang berlaku di sekitar mereka. Saudara Khairul Anuar adalah salah seorang daripada golongan ini dan kini semakin ramai pelajar turut serta mempersoalkan ketidakadilan yang berlaku dalam negara.

Mungkin pihak pemerintah tidak mahu kebangkitan pelajar berlaku di dalam negara ini. Mungkin pihak pemerintah tidak mahu kebangkitan pelajar kembali seperti yang berlaku pada tahun 1970an. Ini merupakan satu taktik kotor pihak pemerintah untuk mematahkan kebangkitan para pelajar.

Mungkin pihak pemerintah lupa akan niat murni dan sikap keperimanusiaan di sebalik perjuangan para pelajar ini. Golongan ini yang sebenarnya mendokong dasar masyarakat penyayang dan mereka ini harus dipuji dan bukannya dihukum.

Kami amat kesal dengan tindakan pihak polis dan pemerintah yang sanggup menghancurkan masa depan seorang pelajar. Kami menuntut agar Saudara Khairul Anuar dibebaskan dengan segera tanpa sebarang syarat.