Tindakan menyumbat dua pemimpin pelajar di bawah akta ISA adalah satu tindakan hina yang boleh digunakan sebagai kayu ukur betapa dayus pimpinan negara dalam menghadapi gelombang kebangkitan pelajar.

Pelajar-pelajar yang sebelum ini diperlekehkan semakin di takuti. Ini adalah tindakan susulan pihak kerajaan, berikutan tindakan sebuah institusi pengajian tinggi awam untuk menamatkan pengajian seorang pelajarnya. Ia kerana pelajar berkenaan berani menyatakan pendirian dan rasa tidak puas hatinya dengan tindak-tanduk kerajaan.

Adalah lebih malang lagi, apabila Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamed, 'menasihatkan' agar semua institusi pengajian swasta (IPTS) agar tidak mengambil pelajar yang menghadapi tindakan tata tertib universiti.

Tindakan ini jika dihalusi, adalah satu tindakan tergesa-gesa dan sempit akal bagi menutup mulut para pelajar yang semakin peka, sensitif dan maklum akan perkara mungkar yang berlaku dalam kerajaan Malaysia.

Mereka lupa bahawa proses pembelajaran mematangkan pelajar-pelajar agar tidak mewarisi generasi atasan yang semakin hanyut dibuai sindrom 'yes tuan'.

Pelajar-pelajar sudah semakin jemu mengharapkan agar generasi atasan mereka berdaya melakukan perubahan yang mampu membela nasib rakyat. Sebaliknya, usaha para pelajar ini untuk menyedarkan pemimpin negara dianggap oleh mereka satu tindakan mendurkaha dan bukannya sebagai pendekar rakyat.

Akta Universiti yang sebelum ini menjadi batu penghalang kepada kegiatan pelajar sudah tidak mampu lagi memberi ruang kepada pemimpin kerajaan berkubu. Akibatnya, akta yang lebih dahsyat dan tidak berperikemanusiaan dihidangkan kepada pelajar dan tidak lagi hanya untuk pemimpin barisan pembangkang.

Kerajaan amat berharap agar tindakan mereka ini dapat melunturkan semangat pelajar bersikap terbuka dan berterusan menentang pucuk pimpinan negara.

Kerajaan harus sedar tindakan seperti ini bukan hanya mengundang bahaya, malah ia umpama mengajak lebih ramai pelajar untuk menyertai arus menentang kerajaan.

Kerajaan sepatutnya memberi perhatian agar perasaan benci kepada pemimpin tidak memuncak kerana pembabitan pelajar mampu memberi kesan ke atas negara. Tindakan kerajaan hari ini seolah-olah suka akan budaya 'yes tuan' berkembang, di mana pemimpin tidak mempunyai harga diri untuk dinilai oleh masyarakat.

Pelajar yang lahir hari ini merupakan barisan pelapis yang akan memimpin Malaysia pada suatu hari nanti.