Mengapakah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang 'terlalu bijak' ini mengambil tindakan menahan aktivis pelajar dengan menggunakan akta ISA? Apakah kerajaan BN sudah lupa yang sekarang ini popularitinya agak menurun, terutamanya Umno?

Wahai Presiden Umno, jangan mudah lupa yang pilihanraya 2004 adalah pilihanraya yang bakal menyaksikan kehadiran ramai pengundi baru. Rata-rata pengundi baru ini adalah di kalangan generasi muda. Oleh itu, kerajaan sekarang haruslah rasional dalam tindakannya. Usah ikut emosi. Ikut hati, mati. Tugas kerajaan BN sekarang adalah untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul bukan lagi dengan menimbulkan isu.

Menteri Pendidikan yang dilantik haruslah bertanya kepada diri sendiri dan lihat suasana sekeliling. Apakah wujud suasana intelektual yang ingin membawa kepada budaya intelektual di kalangan mahasiswa? Mahasiswa baru buka mulut sedikit sudah ditangkap. Mahasiswa dituduh anti kerajaan. Jadi, di manakah kebijaksanaan Menteri Pendidikan yang baru dilantik?

Saya menyeru ibu bapa dan menteri bahawa pelajar dan mahasiswa tidak mahu kurang ajar dan biadab, jauh sekali merobohkan apa yang sudah terbina. Tetapi apakah para ibu dan bapa yang memegang jawatan dalam kerajaan kini benar-benar bekerja kerana negara atau untuk kepentingan diri dan politik peribadi?

Ingatlah, kita boleh menipu manusia dengan cakap kosong, tetapi kita tidak boleh lupa Yang Maha Esa. Kerajaan BN janganlah menggunakan tangan kiri untuk membinasa kemajuan yang telah dibina oleh tangan kanan.

Kepada Bapa Menteri iaitu Perdana Menteri, janganlah merobohkan kemajuan yang bapa sendiri telah bina selama ini dengan perilaku bapa yang semakin kelihatan 'terdesak' dan 'terkapai-kapai'. Kenyataan-kenyataan bapa di akhbar semakin hari semakin beremosi. Masalah tidak akan selesai jika bapa terus menerus emosi.

Bapaku yang saya masih lagi sayang dan hormat, perasaan ini semakin hari semakin tercalar dan tercabar dengan perilakumu. Muhasabahlah diri bapa sempena ulangtahun kepimpinanmu nanti. Jawapannya ada di hati sanubarimu, janganlah bapa lari daripada kenyataan. Terimalah kenyataan dan berundurlah dengan penuh hormat dan bukannya melalui jalan lain.