Pelajar hanya mahu membetulkan yang silap
Pulau Langkawi atau lebih dikenali sebagai 'Fantasy Island' pemimpin Malaysia menjadi saksi kepada rakyat Malaysia (yang takut kepada pemimpin negara) menghadapi realiti apabila pelajar-pelajar telah sedar akan kepincangan yang berlaku dalam negara sekarang.
Berikutan itu, Perdana Menteri telah membuat kenyataan supaya syarat baru dikenakan sebelum pelajar baru menyertai Universiti. Syarat itu meletakkan pelajar harus cemerlang dalam akademik, malah tidak dibenarkan menyertai politik .
Bagaimanapun, kerajaan harus memantau secara halus perubahan yang berlaku di kalangan pelajar-pelajar Malaysia. Yang jelas politik bukan agenda utama pelajar, tetapi mereka hanya berusaha menegur dan melakukan pembetulan kepada sistem kerajaan sekarang yang makin membazir, melampau dan penyalahgunaan kuasa .
Kalau dilihat 15 tahun yang lalu, pembabitan pelajar ke atas hal-ehwal negara amatlah sedikit. Ini adalah sebagai tanda persetujuan pelajar ke atas segala pelaksanaan pembangunan dan keputusan yang dibuat oleh kepimpinan negara.
Syarat baru yang akan diperkenalkan sebelum memasuki institusi pengajian tinggi negara ini amatlah bertentangan dengan norma-norma seorang pelajar.
Untuk berjaya dalam akademik, pelajar perlu menjana pelbagai ilmu bagi membina sahsiah dan meningkatkan ilmu pengetahuan. Ini memerlukan semua pelajar agar rajin membaca dan peka terhadap segala yang berlaku di sekitarnya. Sebaliknya dengan syarat baru itu, pelajar seolah-olah dipaksa mengikut perintah 'yes tuan' .
Kita mahu melahirkan golongan pelajar yang bakal menjadi pemimpin masa depan yang tidak tunduk kepada tekanan dan berprinsip.
Dengan syarat baru ini, ia memberi gambaran bahawa tiada sedikit perasaan kesal pun lahir dari pihak kerajaan. Tekanan demi tekanan yang dihalakan kepada pelajar tidak akan mampu meredakan keinginan yang semakin menebal dalam diri pelajar untuk melihat satu perubahan dalam Malaysia.
Sudah tentu golongan pelajar begitu mengambil berat terhadap negara Malaysia yang bakal diwarisinya. Yang jelas, golongan pelajar bukan sibuk menyertai politik tetapi turut prihatin dengan apa yang berlaku dalam negara sekarang. Maka tidak salah jika mereka turut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan negara dan mengimpikan satu perubahan ke arah menjadikan Malaysia negara yang lebih dinamik dan berdaulat.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.