Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakamkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia sempena ulang tahun ke-20 pemerintahan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri negara ini. Pencapaian Dr Mahathir ini mencipta satu rekod terhadap politik tanahair kerana sebelum ini belum ada seorang Perdana Menteri dapat bertahan begitu lama sehingga mencecah 20 tahun.

DPP Pusat berasa bahawa sangat wajar kiranya pencapaian Dr Mahathir ini direkodkan di dalam buku Malaysia Book of Records kerana kemungkinan selepas ini tidak ada orang yang dapat menandingi kemampuan beliau mempertahankan kuasanya.

Sebenarnya yang menjadi kebanggaan Perdana Menteri sepanjang 20 tahun memerintah negara ini, beliau telah berjaya mengubah hala tuju negara daripada sebuah negara pertanian kepada negara industri sekaligus menjadikan ekonomi negara bergantung kepada negara asing.

Industri pertanian yang sebelum ini menjadi sektor utama kini terpinggir dan orang Melayu juga turut terpinggir daripada arus pembangunan. Wawasan 2020 yang beliau kemukakan dengan kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat telah mendedahkan negara ini kepada bahaya globalisasi.

Perdana Menteri juga gagal memulihkan kegawatan ekonomi dan mendedahkan negara ini kepada ancaman kuasa asing apabila negara menggunakan khidmat penasihat ekonomi Yahudi dan terlalu bergantung kepada modal asing.

Dalam pada itu, DPP Pusat berasa sangat bertuah kerana memiliki seorang Perdana Menteri yang sangat karismatik dan licik dalam mempertahankan kuasanya demi untuk kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya sehingga sanggup membelakangkan kepentingan rakyat dalam semua aspek kehidupan.

Dr Mahathir sanggup mencabul kepentingan sivil, politik, ekonomi, sosial dan budaya rakyat semata-mata untuk memastikan kekuasan yang dimilikinya dapat dipertahankan.

Sepanjang 20 tahun menguasai tampuk pemerintahan negara ini, Dr Mahathir telah melakukan pelbagai bentuk jenayah politik, pencabulan hak rakyat, kerakusan ekonomi, pemerkosaan sistem kehakiman dan perundangan, penghinaan terhadap Islam, penindasan ke atas rakyat bawahan, politik kroni dan nepotisme, penyalahgunaan kuasa, penodaan media massa, demokrasi terpimpin dan sebagainya.

Siri-siri kezaliman yang ditaja oleh Umno/BN yang dipimpin oleh Dr Mahathir akhirnya meletakkan rakyat negara ini dalam keadaan yang terhimpit sehingga membolehkan kuasa yang dimiliki oleh Perdana Menteri tidak boleh dicabar langsung oleh rakyat.

PAS sendiri sebagai sebuah parti politik yang sah di negara ini telah mengalami pelbagai pahit maung dalam menghadapi sandiwara politik Dr Mahathir.

Bermula daripada Kertas Putih tentang isu kafir mengkafir (1983), tangkapan ISA (1984, 1985, 1987 dan 1989), peristiwa berdarah Lubuk Merbau (1985), Peristiwa Memali (1985), rampasan tanah Muassasah Darul Ulum (1987), menganaktirikan Kerajaan Kelantan (semenjak 1990), menghina hukum hudud (1994), Ops Kriket (1997), menyekat pengeluaran Harakah (2000) dan menafikan royalti minyak Terengganu (2000). Peristiwa belum diambil kira tentang halangan berceramah, laporan media yang tidak adil, penghinaan ke atas hukum-hakum Islam, sunnah Nabi, ulama dan sebagainya yang berlaku dengan begitu hebat dalam masa 20 tahun terakhir ini.

Dalam masa 20 tahun ini juga Kerajaan BN di bawah pimpinan Dr Mahathir telah melakukan pelbagai penindasan ke atas rakyat seperti Skandal BMF (1985), provokasi perkauman (1987), pemecatan Ketua Hakim Negara (1988), penghinaan ke atas institusi raja (1992), rampasan tanah di Kerpan (1995) dan Pantai Tanah Merah (1995), Menteri Besar melarikan 1.8kg wang (1997), kaitan Ketua Menteri dengan kes rogol pelajar sekolah (1997) dan konspirasi politik ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (1998).

Selain itu, sepanjang 20 tahun ini, jutaan wang rakyat diagihkan kepada keluarga dan kroni pemimpin BN, tabungan awam digunakan sebagai satu langkah menyelamatkan syarikat kroninya, pasukan polis, Jabatan Peguam Negara dan Badan Pencegah Rasuah disalahgunakan untuk menyelamatkan pemimpin BN, politik perkauman dia mainkan, pendidikan dikomoditikan, kesihatan diswastakan, akta-akta draconian digubal untuk menyekat hak rakyat, pendakwaan dilakukan secara terpilih dan sebagainya.

Di samping itu, pencerobohan ke atas nilai budaya dan sistem sosial masyarakat telah meruntuhkan system yang sedia ada apabila rakyat negara ini terjebak dengan budaya hedonisme, dadah, arak, judi, bohsia, lepak, zina dan pelbagai jenayah sosial yang gagal ditangani oleh kerajaan pimpinan Dr Mahathir.

Daripada rangkaian kezaliman yang meluas berlaku ke atas rakyat dalam masa 20 tahun, segala pembangunan dan pertumbuhan ekonomi menjadi tidak bererti kepada rakyat.

Walaupun Perdana Menteri bersuara lantang di arena antarabangsa untuk membela nasib negara-negara miskin dan sedang membangun, dalam masa yang sama juga Perdana Menteri menindas rakyat negara ini semahunya.

Inilah hasil pemerintahan seorang perdana menteri yang rakus dan gila kuasa sehingga memaksa rakyat terus bimbang untuk bangkit menyatakan kebenaran, keadilan dan kebebasan.

Setelah 20 tahun pemerintahan kuku besi Dr Mahathir bertunjang di negara ini, kini sudah tiba masa rakyat negara ini membuat perubahan yang menyeluruh dalam aspek politik, ekonomi dan sosial bagi memastikan keadilan, kebenaran dan kebebasan dapat ditegakkan.

DPP Pusat menyeru seluruh rakyat negara ini agar tidak terpengaruh dengan slogan pembangunan yang dimainkan oleh pemimpin BN bagi mempertahankan kuasa zalim mereka. Sebaliknya rakyat mesti menoleh ke belakang untuk menilai siri-siri kezaliman yang berlaku dan memikirkan apakah tindakan yang seharusnya dibuat.

Kini sudah tiba masanya untuk rakyat menghentikan kezaliman yang berlangsung selama 20 tahun. Cukuplah 20 tahun menanggung beban kezaliman pemerintah, marilah kita beriltizam untuk mewajahkan semula negara ini dengan citra keadilan, kebebasan dan kebenaran.