20 tahun di bawah diktator berpelembagaan
Pada hari Isnin ini, genaplah 20 tahun usia pemerintahan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia. Mungkin ramai di antara kita yang tidak mengetahui bahawa beliau merupakan seorang antara 10 pemimpin di dunia yang memegang rekod paling lama memerintah negara masing-masing.
Sudah tentulah menjadi sesuatu yang menakjubkan bagaimana Mahathir mampu mempertahankan kuasanya sebegini lama. Tulisan ini bertujuan untuk berkongsi fikiran tentang teknik yang digunakan beliau bagi meneruskan kelangsungan penguasaannya ke atas Malaysia selama tempoh 20 tahun.
Ketika zaman silam khususnya semasa perang dunia pertama dan kedua, para diktator seperti Adolf Hitler, Mussolini dan rakan yang seangkatan dengan mereka mengamalkan metod pentadbiran kuku besi ( authoritarianism ) mengikut cara usang yang menyebabkan rakyat dan dunia pantas bangun memberontak ke atas pemerintahan mereka.
Misal yang paling nyata yang menampakkan feel mereka yang terang lagi jelas sebagai diktator ialah rakyat yang mengambil sikap menentang mereka akan menghadapi tindakan secara usang seperti memenggal kepala si penderhaka. Akibatnya, kerajaan sedemikian tidak dapat kekal lama bertahan.
Melihat kepada iktibar sejarah ini, maka Mahathir tidak mahu mengikuti jejak langkah mahagurunya itu. Beliau sebagai seorang di antara strategis ulung di dunia berazam untuk kekal lama memerintah Malaysia, dan di masa yang sama beliau menghadapi masyarakat moden yang amat berpegang teguh pada keluhuran undang-undang, oleh kerana itu beliau menjalankan pentadbiran secara kuku besi yang selaras dengan undang-undang negara agar payah dibantah oleh penentang-penentangnya.
Maka di sinilah, berlakunya perubahan bentuk sistem kuku besi dari yang bercorak regim tentera kepada diktator yang mengamalkan sistem satu parti. Sistem satu parti ialah sistem pilihanraya yang berat sebelah di mana satu parti sahaja yang memenangi setiap pilihanraya.
Di Malaysia, ia mungkin relevan di peringkat pilhanraya Persekutuan kerana Kelantan, Terengganu dan Sabah sedang dan pernah diperintah oleh parti yang berlainan dengan parti pemerintah di peringkat persekutuan.
Saya beranggapan bahawa masyarakat sukar untuk menggelarkan Mahathir sebagai diktator kerana beliau masih lagi menegakkan sistem negara 'demokrasi' yang diadakan pilihanraya secara tetap pada setiap lima tahun sekali dan perkara -perkara lain yang menjadi rukun untuk melegitimasikan (mengesahkan) kerajaannya. Hakikatnya, beliau merupakan seorang diktator moden.
Prof Harold Crouch di dalam bukunya Government and society in Malaysia , mengulas mengenai perkara ini dengan menyatakan bahawa walaupun di sana terdapat kebebasan sivil dan proses perjalanan demokrasi secara minima, ia akan hanya dibenarkan selagimana tidak mengganggu-gugat kedudukan parti pemerintah dan sekiranya terdapat ancaman, hak-hak tadi akancepat-cepat dipinda ataupun dimansuhkan.
Sejak tahun 1981 sehingga tahun 1994, Mahathir, yang tidak seperti tiga orang Perdana Menteri terdahulu yang berlatar-belakang pengajian undang-undang, telah meminda Perlembagaan Persekutuan sebanyak 10 kali (Harold Crouch, 1996).
Gambaran sifat autokratik Mahathir telah ditunjukkannya sejak berkuasa pada tahun 1981 terutamanya pada akhir tahun 1980an ketika kedudukannya tercabar.
Sejak 1980an, hubungan eksekutif dengan cabang-cabang kerajaan yang lain yang wujud dalam sistem demokrasi moden telah mengalami perubahan yang besar. Ini termasuk pemansuhan imuniti dan pengecilan kuasa raja-raja serta kes penganiayaan terhadap Tun Salleh Abas (bekas Ketua Hakim Negara) yang menjadi titik-tolak kepada ancaman terhadap kebebasan kehakiman.
Seterusnya penyalahgunaan peruntukan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri menahan sesiapa sahaja tanpa bicara digunakan dengan sewenang-wenangnya terhadap musuh-musuh politik Mahathir terutama sekali dalam Operasi Lalang pada tahun 1987. Sehingga sekarang kita terus menyaksikan ISA semakin disalahgunakan hatta kepada para pelajar universiti.
Ia tidak terhenti dengan ISA, bahkan pemindaan terhadap Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk terus mengurangkan ketelusan dan pertanggungjawaban dalam proses birokrasi, manakala media massa perdana baik bercetak mahupun eletronik dikuasai oleh kerajaan atau parti pemerintah yang bertindak sebagai alat propaganda BN dan dalam masa yang sama sebagai instrumen untuk memburukkan pembangkang.
Saya berharap dengan secebis contoh yang diberikan ini dari banyak lagi contoh yang lain dapat memperjelaskan kita bahawa Mahathir memang merupakan seorang diktator. Saya berpandangan sekiranya Mahathir meletakkan jawatan pada hari ulang tahun pemerintahannya sekalipun, penggantinya akan turut mengikuti jejak langkahnya kerana sistem negara yang sudah berada di tahap yang paling busuk lagi membusukkan (meminjam istilah Prof Shahnon Ahmad).
Sistem itu mestilah digantikan dengan satu sistem alternatif yang lain demi mewujudkan semula negara ini dengan semangat kebebasan dan keadilan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.