Saya menulis surat ini sebagai jawapan dan reaksi kepada surat Abu Mujahed Abdullah Azzam ('20 tahun di bawah diktator berpelembagaan', 16 Julai), dan juga kenyataan Mahfuz Omar, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat pada tarikh yang sama ('Cukuplah dua dekad Mahathir cipta rekod').
Kenyataan mereka bukanlah perkara baru atau pun luar dugaan memandangkan dalam suasana manusia yang berpihak, terutamanya orang Melayu, lafaz pemikiran demikian rupa adalah perkara lumrah dan amat biasa.
Saya bukanlah pengampu kerajaan atau ingin membodek sesiapa memandangkan saya sendiri telah pernah menentang pihak atasan dalam sesuatu institusi yang sama-sama didukung.
Pada pendirian saya dalam apa bidang sekali pun kita pilih untuk menceburkan diri, kejujuran dan keikhlasan bertindak adalah perkara paling utama. Ada kalanya dalam kita tekun menabur jasa kita terpaksa serentak dan bersama menghapus halangan yang tidak wajar dibiar wujud.
Bagi saya Mahathir adalah antara Perdana Menteri yang paling berjaya di dunia dan setakat ini terbaik di Malaysia. Ada keputusan dan tindakannya yang saya benci, tidak setuju dan marah tetapi jika ditimbang antara baik buruknya maka saya dapati lebih banyak yang baik daripada yang tidak baik.
Bagi saya Mahathir adalah manusia biasa yang terlalu ingin melakukan sesuatu untuk kepentingan ramai, dan dalam melakukannya ia terpaksa bertindak luarbiasa bagi menjaminkan kejayaan.
Sebagai pemimpin yang tegas rapi, malah hampir kepada taraf menggila pada niat dan wawasannya, dia terpaksa bertindak demikian rupa bagi mengekalkan kedudukan dan kemampuannya berkhidmat untuk rakyat.
Kereta nasional, Putrajaya, Cyberjaya, Menara Kembar dan berbagai lagi usaha di bidang pembangunan dan pelancongan termasuk Wawasan 2020 akan hanya dapat dinilai kesan serta ertinya dalam coretan sejarah generasi akan datang.
Slogan Bersih, Cekap dan Amanah menyatakan hasrat mulia dan ada kesan positifnya. Begitu jugalah dasar Pandang Ke Timur dan lain-lainnya yang tercetus dari hasrat tidak mahu dikongkong dan ingin berdikari dalam dunia penuh muslihat.
Begitu juga dengan dasar pembangunan dalam negara yang sekiranya didokong dengan penuh kejujuran oleh semua pihak sudah pasti membawa kejayaan sewajarnya.
Walaupun adakalanya tindakan Mahathir dilihat sebagai kejam dan zalim kepada pihak tertentu tetapi yang jelas dan pasti Mahathir tidak kejam dan zalim kepada rakyat umum pelbagai kaum.
Dasar perpaduan di kalangan pelbagai kaum adalah asas paling penting dan ketara dalam mencipta kemajuan negara. Ini digambarkan secara teguh melaui ikatan parti-parti politik yang berteraskan perpaduan kaum dan kesetabilan negara.
Ikatan ini diterima oleh masyarakat umum kerana ia bukanlah sekadar ikatan untuk memenangi pilihanraya.
Mahathir adalah manusia biasa yang sensitif kepada pandangan dan buah fikiran yang bernas. Ia boleh diubah, dibentuk dan disesuaikan dengan keadaan.
Pandangan dalam surat tersebut di atas jelaslah datangnya daripada pihak tertentu sahaja, bukan pandangan umum dan tidak mampu merubah hala tuju politik negara kita.
Apakah jaminan yang kita ada waktu ini bahawa pemimpin yang menentang itu akan lebih mampu membawa kejayaan lebih besar kepada negara dan kemajuan kepada rakyatnya?
Yang kita khuatirkan apabila mereka berkuasa barulah mereka sedar apa yang dilakukan oleh Mahathir itu adalah lumrah serta perlu dalam suasana dan tuntutan politik yang begitu menggugat.
Teringat saya kepada Estrada dan Pak Gus Dur pada saat ini!
Memang benar dalam arus pembangunan sekarang iaitu berabad selepas dasar ekonomi baru dilaksanakan, orang Melayu masih tertinggal dalam arus pembangunan khususnya di bidang perniagaan dan perindustrian.
Kalau sekadar nak melabelkan pemimpin dengan mata yang tertutup, mentakrifkan sesuatu sebagai zalim tanpa memeriksa punca sesuatu tindakan umpamanya kes rampasan tanah muassassah Darul Ulum, maka lebih baiklah kami bersembang dengan Pak Pandir dan Abu Nawas daripada membaca perasaan dan emosi yang berat sebelah itu!
Memadailah rasanya sekadar saya meluahkan pandangan dan mencetuskan bahas yang boleh memberi manfaat.
