Saya ingin menjawab pandangan yang diberikan oleh saudara Basriakil ('Mahathir - Perdana Menteri paling berjaya di dunia', 18 Julai) yang menyentuh mengenai surat saya tempoh hari.

Apa yang saya nampak, beliau tidak pun menjawab hujah-hujah saya tetapi menimbulkan persoalan baru tentang kejayaan ekonomi yang dibina oleh Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad yang kita kasihi.

Walau bagaimanapun, saya akan memberikan pendapat saya berhubung dengan skop ekonomi yang beliau sentuh.

Pertamanya, apa yang dibangkitkannya ialah projek mega Mahathir seperti Kereta Nasional, Putrajaya, Cyberjaya dan Menara Kembar. Hujahnya, projek ini akan memberi kesan yang positif pada masa hadapan.

Komen saya ialah siapakah yang mendapat keuntungan daripada projek-projek mega ini: rakyat ataupun kroni-kroni yang terhasilkan daripada dasar politik di bawah naungan kerajaan seperti Renong, Binariang dan sebagainya?

Di manakah kesan positif slogan 'Bersih, Cekap dan Amanah' yang dicipta Mahathir pada awal penguasaannya itu melainkan hanya untuk mengabui mata rakyat kononnya kesungguhannya untuk membebaskan negara daripada gejala rasuah?

Di zamannyalah Badan Pencegah Rasuah yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri JPM hanya mampu menyiasat dan mendakwa ikan bilis sahaja berbanding zaman Tun Hussein Onn di mana berlaku tangkapan ke atas jerung besar seperti Dato' Harun Idris.

Sekalung tahniah kepada Tan Sri Harun Hashim yang menjadi Ketua Pengarah BPR ketika itu. Sekarang indeks rasuah negara kita masih berada di tahap yang teruk 4.6 (jika tidak salah) berbanding dengan Singapura 9.2 iaitu antara 10 negara terbersih dari segi rasuah.

Tentang perpaduan kaum yang dikatakan oleh penulis yang berjaya dipupuk oleh Mahathir, bagi saya, perpaduan kaum tidak akan wujud selagimana BN memerintah hasil dari back-door policy-making kerajaan. Hal kaum hanya ditentukan oleh kepala parti-parti dalam BN tanpa meminta pandangan ketua-ketua kaum atau agama yang berautoriti.

Sehingga kini, Majlis Perundingan Perpaduan Kaum yang dituntut oleh pelbagai pihak hanya dipandang sepi oleh penguasa kerana mereka tidak mahu semua rakyat berpadu. Sekiranya masyarakat kita bersatu, maka BN tidak boleh lagi memainkan isu-isu perkauman terutamanya setiap kali menjelang pilihanraya umum atau kecil.

Saya mengimpikan saat itu di mana semua kaum memahami budaya kaum lain dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Saya bersetuju dengan penulis agar polemik kediktatoran Mahathir ini dapat diteruskan dengan perbahasan yang sihat.