SURAT | Bagi penduduk Tawau yang sudah sekian lama berhadapan dengan gangguan bekalan air, kesabaran mereka sememangnya sedang diuji.

Masalah itu bukan sesuatu yang baru. Saya memahami keresahan yang disuarakan oleh masyarakat, termasuk mereka yang semakin hilang sabar menantikan penyelesaian.

Air merupakan keperluan asas yang tidak sepatutnya menjadi perkara yang perlu dirisaukan setiap hari. Namun, di sebalik segala kesulitan yang sedang dihadapi, terdapat beberapa perkembangan penting yang wajar diketahui masyarakat.

Saya percaya penjelasan mengenai usaha yang sedang dilaksanakan dapat membantu kita memahami keadaan dengan lebih menyeluruh, khususnya apabila sebahagian daripada penyelesaian yang dirancang melibatkan pembangunan infrastruktur berskala besar.

Untuk memahami mengapa masalah ini begitu sukar ditangani, kita perlu melihat keadaan sistem bekalan air di Tawau.

Berdasarkan laporan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), kapasiti pengeluaran air terawat di Tawau adalah sekitar 130 juta liter sehari, sedangkan permintaan telah mencecah 142 juta liter sehari.

Jurang sekitar 12 juta liter sehari di antara pengeluaran dengan keperluan pengguna selain masalah paip uzur, kapasiti penyimpanan yang terhad serta kadar air tidak berhasil (NRW) yang dilaporkan mencecah 68 peratus.

Kadar NRW ini merangkumi kehilangan air dalam sistem, termasuk kebocoran, penggunaan tanpa kebenaran dan penggunaan yang tidak dibilkan.

Dalam keadaan sedemikian, gangguan terhadap sumber air mentah – sama ada akibat kemarau, penyusutan paras sungai mahupun pencemaran – boleh memberikan kesan yang besar terhadap keupayaan loji rawatan untuk membekalkan air kepada penduduk.

Bukan meminta berpuas hati

Atas sebab itulah, penyelesaian masalah air Tawau tidak boleh bergantung semata-mata pada pembaikan kerosakan atau pemulihan operasi loji setiap kali gangguan berlaku.

Apa yang diperlukan ialah peningkatan keupayaan keseluruhan sistem, bermula daripada sumber air mentah hinggalah kepada pengeluaran, penyimpanan dan pengagihan air terawat.

Dalam hal ini, kerajaan negeri sedang melaksanakan beberapa projek penting, antaranya Skim Bekalan Air Tawau Fasa III yang melibatkan peruntukan sebanyak RM450.5 juta.

Projek tersebut merangkumi pembinaan Empangan Air Tawau berkapasiti 30 juta meter padu serta pemasangan saluran paip air mentah sepanjang 11.6 kilometer.

Menurut laporan JANS, kemajuan fizikal projek berkenaan telah mencapai 74.04 peratus setakat Julai lalu dan disasarkan siap sebelum penghujung 2027. Dengan kemudahan itu ia dirancang untuk membekalkan sumber air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 1, Cinta Mata 2 dan LRA Utara.

Pada masa yang sama, projek pembinaan LRA Cinta Mata 2 bernilai RM299.9 juta turut dilaksanakan bagi menambah kapasiti rawatan sebanyak 30 juta liter sehari. Projek yang dijangka memberikan manfaat kepada kira-kira 42,000 pengguna itu mencapai kemajuan fizikal 16.08 peratus setakat Julai lalu, dengan sasaran penyiapan pada Julai 2028.

Saya menyebutkan perkembangan ini bukan untuk menafikan kesulitan yang sedang dihadapi rakyat, jauh sekali meminta mereka berpuas hati dengan keadaan sekarang.

Sebaliknya, saya mahu menjelaskan bahawa penyelesaian jangka panjang sedang diusahakan dan sebahagiannya telah menunjukkan kemajuan yang boleh diukur.

Kita juga perlu memahami bahawa pembinaan empangan dan loji rawatan air bukanlah pekerjaan yang boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa minggu atau bulan.

Pelaksanaannya melibatkan kerja kejuruteraan yang kompleks, selain keperluan memastikan kemudahan yang dibina benar-benar mampu berfungsi dengan baik apabila siap kelak.

Fungsi tekanan daripada rakyat

Bagaimanapun, hakikat bahawa projek jangka panjang sedang berjalan tidak bermakna masalah yang dihadapi penduduk hari ini boleh dibiarkan begitu sahaja. Mereka tetap memerlukan bekalan air untuk meneruskan kehidupan sementara menunggu penambahbaikan sistem disiapkan.

Berhubung gangguan bekalan air yang berlaku baru-baru ini, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Adun Apas, Nizam Abu Bakar Titingan, telah membawa perkara tersebut ke mesyuarat Kabinet Sabah pada 21 Okt lalu.

Susulan perbincangan berkenaan, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, meminta Kementerian Kerja Raya dan Utiliti supaya mengarahkan JANS mengambil tindakan lebih proaktif, termasuk mempergiat bantuan bekalan air menggunakan lori tangki kepada penduduk yang terjejas.

Saya tidak fikir sesiapa menganggap penghantaran air menggunakan lori tangki sebagai penyelesaian yang ideal. Namun, ketika gangguan berlaku dan operasi bekalan air belum dapat dipulihkan sepenuhnya, bantuan seperti ini tetap diperlukan bagi meringankan beban penduduk.

Dalam keadaan permintaan yang tinggi sedangkan jumlah lori, tenaga kerja dan sumber bekalan adalah terhad, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat kawasan yang mungkin menerima bantuan lebih lewat berbanding kawasan lain.

Oleh itu, penyelarasan antara JANS, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat perlu diperkukuh supaya keperluan penduduk, khususnya mereka yang paling terkesan, dapat diberikan perhatian.

Di sinilah saya melihat pentingnya peranan masyarakat dalam membantu proses penyelesaian.

Dalam sistem pentadbiran kita, tekanan daripada rakyat sebenarnya mempunyai fungsi yang besar untuk memastikan sesuatu masalah diberikan keutamaan sewajarnya oleh pihak yang bertanggungjawab.

Saya menyedari bahawa penyelesaian menyeluruh terhadap masalah bekalan air Tawau masih memerlukan masa. Malah, berdasarkan jadual semasa, sebahagian projek utama hanya dijangka siap pada 2027 dan 2028.

Tempoh menunggu ini tentunya bukan sesuatu yang mudah bagi penduduk yang masih mengalami gangguan bekalan air.

Walaupun begitu, kita tidak harus mengabaikan kemajuan yang telah dicapai. Projek empangan dan LRA yang sedang dibina merupakan pelaburan penting untuk meningkatkan keupayaan bekalan air Tawau dalam jangka panjang.

Apa yang perlu diberikan perhatian sekarang ialah memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual, sementara penambahbaikan terhadap sistem sedia ada terus dilaksanakan.

Masyarakat juga wajar mendapat maklumat yang lebih kerap mengenai perkembangan projek tersebut. Laporan kemajuan fizikal, cabaran pelaksanaan dan sebarang perubahan jadual penyiapan perlu dikongsikan secara terbuka.

Dengan adanya maklumat yang jelas, penduduk bukan sahaja dapat mengikuti perkembangan semasa, malah mempunyai asas yang lebih kukuh untuk menilai keberkesanan usaha yang sedang dilakukan.

Harapan saya, projek-projek yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut perancangan supaya manfaatnya benar-benar dirasai oleh masyarakat.

Akhirnya, kejayaan semua usaha ini tidak akan diukur melalui nilai peruntukan atau kemajuan fizikal semata-mata, tetapi melalui satu perkara yang jauh lebih sederhana dan bermakna: apabila penduduk Tawau tidak lagi perlu bimbang tentang bekalan air setiap kali membuka paip di rumah.


RAHMAN IMUDA ialah ialah pegawai khas kepada Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah. Artikel ini ditulis atas kapasiti peribadi penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.