SURAT | Ketika kesetiaan lebih dihargai berbanding integriti
SURAT | Apabila pemimpin yang terpalit dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan amanah terus diagungkan, persoalannya bukan lagi sekadar integriti individu. Ia mencerminkan kemerosotan etika politik apabila kesetiaan kepada parti mengatasi pertimbangan moral dan keadilan.
Dalam Islam, kepimpinan ialah amanah, bukannya jalan untuk mengumpul kekayaan atau mengekalkan kuasa. Surah al-Nisa' ayat 58 menegaskan kewajipan menunaikan amanah kepada yang berhak dan menetapkan hukum secara adil. Prinsip ini sepatutnya menjadi asas penilaian terhadap setiap pemimpin, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh politiknya.
Namun, budaya politik yang mengagungkan individu boleh menyebabkan kesalahan pemimpin diketepikan hanya kerana kesetiaan kepartian. Kesalahan yang dikecam apabila dilakukan oleh pihak lawan boleh pula diberikan pembenaran apabila melibatkan pemimpin sendiri.
Keadaan ini berkait dengan konsep moral disengagement, iaitu kecenderungan memisahkan penilaian moral daripada tindakan yang dipertahankan. Dalam politik, mekanisme ini membolehkan penyokong membenarkan perbuatan tidak beretika demi melindungi pemimpin yang mereka sokong.
Akibatnya, rakyat yang sepatutnya mengawasi kuasa bertukar menjadi pelindung kepada pemimpin. Hubungan antara pemerintah dengan rakyat juga berubah daripada tuntutan pertanggungjawaban kepada kesetiaan tanpa soal.
Islam memberikan peringatan yang jelas tentang perkara ini. Surah Hud ayat 113 melarang orang beriman cenderung kepada golongan yang melakukan kezaliman. Hadis sahih riwayat Bukhari pula menjelaskan bahawa membantu orang yang zalim bermaksud menghalangnya daripada terus melakukan kezaliman.
Jelas bahawa kesetiaan sebenar bukan bermaksud mempertahankan pemimpin dalam setiap keadaan. Sebaliknya, menegur dan menghalang kesalahan mereka juga sebahagian daripada tanggungjawab moral.
Dalam politik Malaysia, isu pengurusan dana awam, skandal kewangan dan sabitan kesalahan rasuah tidak sepatutnya dilihat sekadar sebagai bahan persaingan antara parti. Ia melibatkan kepentingan negara dan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.
Begitu juga dengan isu pengampunan, pelaksanaan hukuman dan layanan terhadap pesalah berprofil tinggi. Prinsip kesamarataan di sisi undang-undang mesti dipertahankan. Kedudukan dan pengaruh politik seseorang tidak seharusnya menentukan layanan yang diterimanya.
Dari sudut sosiologi politik, budaya mempertahankan pemimpin juga boleh mengukuhkan political patronage, iaitu hubungan penaungan yang berasaskan kepentingan dan jaringan pengaruh.
Dalam keadaan ini, kesetiaan lebih dihargai berbanding integriti dan keupayaan seseorang pemimpin melaksanakan amanah.
Lebih membimbangkan apabila agama dan sentimen bangsa digunakan untuk melindungi pemimpin daripada kritikan. Agama sepatutnya menjadi asas keadilan dan amanah, bukannya alat untuk memberikan legitimasi kepada kepentingan politik.
Dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025, Malaysia mencatatkan skor 52 daripada 100 dan berada di tangga ke-54, berbanding skor 50 dan tangga ke-57 pada 2024.
Peningkatan itu satu perkembangan positif, tetapi tidak bermakna masalah rasuah sudah selesai. Persepsi antarabangsa juga tidak boleh dijadikan ukuran tunggal kejayaan reformasi institusi.
Kerajaan Madani perlu membuktikan komitmen antirasuah melalui reformasi yang nyata, termasuk memperkukuh kebebasan institusi penguatkuasaan, meningkatkan ketelusan pembiayaan politik dan perolehan awam serta melindungi pemberi maklumat. Undang-undang juga mesti dikuatkuasakan tanpa pilih kasih.
Pembangkang pula perlu menunjukkan pendirian yang konsisten. Kesalahan pemimpin sendiri tidak boleh dilindungi hanya kerana perbezaan parti. Perjuangan menentang rasuah akan kehilangan kewibawaan jika prinsip integriti hanya digunakan untuk menyerang lawan politik.
Rakyat juga perlu membezakan antara menghargai jasa seseorang pemimpin, mempertahankan haknya mendapatkan keadilan dan menyokongnya kembali memegang amanah awam. Ketiga-tiganya bukan perkara yang sama.
Krisis demokrasi bukan hanya berlaku apabila pemimpin melakukan kesalahan, tetapi apabila masyarakat enggan mengakuinya. Selagi kesetiaan kepada individu mengatasi kebenaran dan keadilan, selagi itulah integriti politik sukar ditegakkan.
Kemuliaan seorang pemimpin tidak terletak pada jumlah pengikut atau pengaruhnya, tetapi pada kejujuran dan keupayaannya menjaga amanah.
AZRIE AZEH ialah setiausaha Pertubuhan Muafakat Terengganu Baru.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/QYZk3_792756.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.