Saya merasa amat marah apabila membaca surat 'Syarikat kroni berjaya bantu orang Melayu' tulisan Mohd Fauzi (20 Julai) khususnya perenggan berikut:

"Jika sekiranya kerajaan tidak membantu syarikat-syarikat seperti ini, di manakah lagi tempat professional Melayu bekerja dan mendapat kedudukan yang baik? Jika sekiranya syarikat-syarikat seperti ini dibiarkan muflis, siapakah yang akan mengambilalih syarikat-syarikat ini?"

Kenyataan beliau adalah satu cubaan untuk menjatuhkan maruah professional Melayu tidak kira sama ada mereka bekerja dengan syarikat kroni atau tidak. Kenyataan ini sama seperti kenyataan Perdana Menteri berkenaan pensyarah dua tahun lepas.

Jika inilah sebabnya syarikat-syarikat kroni seperti Renong dan UEM ini ditubuhkan, ia telah merendahkan martabat profesional Melayu dan bangsa Melayu secara amnya. Beginikah caranya kerajaan menolong bangsa Melayu?

Janganlah gunakan alasan ini untuk menyelamatkan jutawan Melayu yang sedang tersepit.