Manisnya kejayaan jika tidak dicemari
Saya tertarik dengan tulisan saudara Basri Akil mengenai kejayaan Dr Mahathir dan mungkin saya bersetuju dengan pandangan beliau yang katanya bukan pandangan dari seorang pengampu.
Namun dalam memberi penghargaan kepada seseorang sudah tentu kita punya batas, prinsip dan kewarasan yang dipandu oleh nilai dan akal budi apatah lagi jika pandangan tersebut lahir daripada yang mengaku sebagai Melayu Muslim. Sudah tentulah pandangannya berasaskan ajaran Ilahi bukan ukuran akal cetek semata.
Saya juga berasa bangga dengan beberapa kejayaan yang telah di capai oleh negara atas daya pemikiran dan kegigihan Dr Mahathir sebagaimana yang saudara sebutkan. Bagi saya, semua kejayaan itu amat penting buat rakyat berbilang kaum di negara ini.
Bagaimanapun, alangkah manis dan harmonisnya jika semua kejayaan PM itu tidak dicemari dengan beberapa siri ketidakadilan dalam undang-undang negara. Rakyat pasti akan berasa puas kiranya tidak berlaku pendakwaan terpilih, akan hormat-menghormati kiranya tidak berlaku kronisme dan nepotisme dalam pentadbiran negara.
Rakyat juga turut bangga kiranya hukum Islam dan para ulama tidak dipermain-mainkan. Tentu rakyat akan berasa bertuah mempunyai seorang Perdana Menteri yang sanggup mendengar teguran golongan marhain dan tidak menyalahkan pihak lain dalam kemelut ekonomi negara.
PM nescaya akan lebih dihormati kiranya program pembanterasan gejala maksiat dan keruntuhan moral remaja hari ini turut menjadi agenda utama dalam perjuangannya. Segi akhlak, mungkin tak begitu penting buat PM kot?
Sewajarnya kita tidak hanya memuji yang baik semata sementara yang mungkar kita diamkan, samalah ertinya apabila kezaliman itu tidak ada kena mengena dengan keturunan kita. Kita hanya berdiam diri tetapi apabila ia menimpa keluarga kita, bolehkah kita diamkan saja?
Apakah siri kezaliman ke atas mangsa ISA dan saudara Anwar Ibrahim wajar kita diamkan kerana ia bukan keluarga kita?
Akhirnya apakah wajar kita membuat andaian apabila seseorang pemimpin itu melakukan onar pemimpin lain selepasnya sama berbuat sepertinya?
Ia samalah ertinya apabila kita melakukan kejahatan, orang lain juga akan melakukanyang sama apabila dia berada di tempat kita? Wajarkah kita membuat andaian begitu. Terserah pada saudara Basri menilainya.
Yang penting sekarang kiranya PM mahu terus dihormati, beliau harus menyapu imej hitam yang sudah terpalit pada mukanya, akibat perbuatannya sendiriyang. Itu lumrah manusia, terkadang bertindak di luar batas kemanusiaan, dan ini perlu ditegur.

