Ubah provokasi kepada peluang terbaik
Saya ingin merujuk kepada peristiwa penahanan terbaru aktivis parti politik di bawah ISA. Kali ini alasan kerajaan ialah untuk mengekang kegiatan ekstrimis agama. Kebetulan ia dibuat sewaktu larangan berceramah dikenakan ke atas semua parti politik.
Beberapa insiden yang berlaku kerana keengganan mereka mematuhi larangan polis telah dieksploitasi oleh pihak tertentu bagi menggambarkan betapa ekstrimisnya parti pembangkang.
Saya berpendapat isu terbaru yang dieksploitasi pihak kerajaan atau media arus perdana tidak memadai ditangani oleh parti pembangkang dengan membuat kenyataan akhbar, usul di Parlimen, ceramah perdana, menganjurkan konvoi ke kem Kemunting atau mengadakan pertemuan dengan Suhakam.
Kehadiran ramai tokoh profesional dan golongan muda dalam parti pembangkang memungkinkan pelbagai pendekatan baru perlu diterokai untuk menghampiri masyarakat yang masih keliru dengan perjuangan pembangkang atau bagi mematahkan hujah kerajaan.
Sudah tiba masanya pembangkang mengubah faktor yang menjadi 'penghalang' kepada keadaan yang berupa 'peluang'. Kerajaan Terengganu dan Kelantan mungkin dapat memikirkan bentuk kerjasama positif dengan jentera kerajaan negeri seperti polis atau tentera.
Lebih baik lagi sekiranya pembangkang mengatur program yang dilihat sebagai mendokong aspirasi mereka seperti apabila timbul isu 'lapuk', Black Metal , maka parti pembangkang bersedia menghulurkan kerjasama dengan polis, Jabatan Agama Islam mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pembangkang juga perlu melibatkan para penyokongnya dengan jentera kerajaan Pusat.
Saya berpendapat selagi parti pembangkang masih mengalunkan irama yang sama terhadap 'provokasi'dan 'kezaliman' kerajaan, maka mudahlah kerajaan bertindak untuk menangkap mereka yang melanggar undang-undang sekaligus mengekploitasi isu ke atas parti pembngkang. Terpulanglah kepada pemimpin parti pembangkang untuk mencongak pendekatan 'mesra terhadap keharmonian dan kestabilan negara' yang lebih rasional dan berkesan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.