Selama satu hari, seorang DJ radio yang berpusat di Abu Dhabi tidak henti membuat jenaka mengenai pencapaian (atau kecapaian) rekod tinggal bersama kala jengking oleh seorang wanita Malaysia.

Jenaka berbaur sarkastik itu berselang seli dengan pelbagai saranan cara-cara atau strategi untuk tersenarai ke dalam buku rekod Guiness.

Kegilaan yang disemarakkan oleh "Malaysia Boleh" sememangnya kian mengisi mentaliti.

Dari bangunan tertinggi di dunia, pelbagai projek mega dan megah, sehingga berebut-rebut untuk mengisi rekod itu dan ini.

Mungkin juga bersama pembaziran wang dan masa demi satu ilusi yang semakin kabur. Berkebetulan, salah satu kegemaran hujung minggu penulis di Dubai ialah membaca ruangan 'Ordinary Life' dalam sebuah majalah sisipan akhbar UAE.

Setiap minggu penulis ruangan itu akan menemubual pelbagai penduduk ekspatriat yang bukan dari golongan profesional atau terpelajar.

Sememangnya UAE telah menjadi destinasi mereka yang inginkan kemewahan atau sekurang-kurangnya pendapatan yang lebih baik dari negara sendiri.

Terutama dari benua kecil India. Mereka adalah majoriti di UAE dan menguasai kebanyakan ruang pekerjaan, terutama kaum buruh.

Malah ada jenaka yang berbunyi, "Apakah kota di India yang paling disukai oleh orang India?" Jawabannya, "Dubai!" Membaca siri 'Ordinary Life' banyak memberi kesedaran terhadap kehidupan.

Dikatakan UAE mempunyai ekspatriat dari hampir 120 negara. Impian tidak selalunya berakhir dengan kenyataan. Kisah ditipu oleh orang tengah setelah membayar harga yang tinggi untuk berhijrah ke UAE sudah menjadi perkara biasa.

Kisah yang sama juga terjadi di Malaysia dikalangan pendatang haram. Kerana itu pelbagai masalah sosial seperti jenayah dan seks liar menjadi sebahagian dari gejala yang semakin serius.

Malah sinonim dengan kebanjiran pendatang haram walau pelbagai cara dibuat untuk membanterasnya. Yang berbeza, ekspatriat adalah majoriti di UAE tetapi kadar jenayahnya menghampiri kosong.

Malah boleh dilihat betapa displinnya ekspatriat ini berbanding di tanahair mereka. Dari beratur menaiki bas sehingga kebersihan. Purata berbangga untuk menjadi sebahagian dari masyarakat tempatan.

'Ordinary Life' turut memaparkan kejayaan hasil usaha yang tidak kenal penat lelah mereka yang mencari rezeki. Sama ada sebagai pekebun bunga, penghantar piza, pembuat roti, penjual buku dan lain-lain kerja buruh kasar.

Mungkin secara kasarnya juga, ada yang bertaraf profesional dalam bidangnya. Kerana selama hidup melakukan pekerjaan tersebut.

Cerita mengenai ekspatriat menjadi jutawan melalui pelbagai peraduan atau skim simpanan bank turut menyemarakkan impian ekspatriat lain.

Kerana itu pelbagai peraduan yang dianjurkan menerima sambutan yang cukup hebat. Oleh kerana tiada taraf permastautin atau kewarganegaraan diberikan kepada ekspatriat, sememangnya mereka mahu pulang ke negara masing-masing.

Membuat wang secukupnya sebelum kembali. Secara bisik-bisik, dikatakan ada garis virtual yang memisahkan taraf ekspatriat berdasarkan warna kulit. Melihat dari iklan pekerjaan seperti "UK/US/Australia/New Zealand- Educated Only" mungkin ada benarnya persepsi tersebut.

Suara-suara mengenai ketidakseimbangan demografi dan kebimbangan rakyat tempatan dengan kebanjiran ekspatriat semakin kedengaran. Dengan proses emiratisasi yang semakin rancak, impian ekspatriat baru mungkin akan tinggal impian sahaja.

Bak kata DJ radio dari Abu Dhabi, mungkin lebih baik bermimpi untuk memecahkan rekod 'tinggal dengan kala jengking' di padang pasir dan menjadi terkenal sekelip mata, atau mati sebagai orang biasa!