15,000 diberhentikan kerja setiap bulan di Malaysia
Gejala pemberhentian kerja semakin menjadi-jadi terutama di sektor elektronik, pembuatan dan perkhidmatan. Ini menimbulkan persoalan sejauh manakah daya tahan ekonomi kita dalam menghadapi kesan kelembapan di Amerika.
Berita terbaru dari Amerika melaporkan kadar penganggurannya meningkat kepada 4.5% pada April dan purata jumlah kehilangan pekerjaan sebulan meningkat kepada 93,000 orang satu keadaan yang amat membimbangkan.
Sementara itu akhbar-akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Syed Muhamad Syed Abdul Kadir berkata, purata 15,000 orang kehilangan pekerjaan setiap bulan sekarang.
Kenyataan beliau itu diragui ketepatannya kerana tidak menjelaskan butir-butir lanjut mengenai angka yang besar yang diberikannya itu. Beliau tidak menjelaskan sama ada ia pemberhentian paksa atau secara sukarela melalui skim perpisahan sukarela (VSS) dan persaraan awal.
Jika angka yang diberikan beliau itu tepat, ia cukup membimbangkan kerana angka itu lebih separuh dari keseluruhan jumlah pemberhentian pekerja yang dilaporkan pada tahun lalu. Jumlah kehilangan pekerjaan pada tahun lalu ialah 22,236.
Bagaimanapun data rasmi yang diperolehi daripada laman web kementerian itu menyatakan sebanyak 10,570 pemberhentian pekerjaan berlaku sepanjang Januari hingga 5 Mei lalu.
Walau apa pun angka sebenarnya, jelas sekali pemberhentian pekerjaan sedang meningkat. Statistik kementerian berkenaan menunjukkan jumlah pemberhentian pekerjaan meningkat sejak bulan Mac.
Pada bulan itu, angkanya meningkat sebanyak 51% kepada 2,982 berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Sejak awal April hingga 5 Mei seramai 5,100 pekerja kehilangan pekerjaan, meningkat 105 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pemberhentian kerja paling besar berlaku sepanjang tempoh berkenaan ialah dalam sektor eletronik bila kilang semikonduktor Seagate di Seberang Prai,Pulau Pinang menutup operasinya dan akibatnya 4,000 pekerjanya menganggur.
Sementara itu beberapa kilang elektronik yang bergantung pada pasaran Amerika seperti Motorola, Texas, Sapura dan beberapa buah lagi dilaporkan sedang dan akan menawarkan skim VSS kepada para pekerjanya bagi mengurangkan kos operasi masing-masing.
Sektor perbankan pula dijangka akan memberhentikan kira-kira 10,000 pekerja masing-masing bila proses penggabungan selesai.
Menurut firma-firma perunding sumber manusia, sebahagian besar pemberhentian pekerjaan itu disebabkan langkah syarikat-syarikat pembuatan antarabangsa mengecilkan saiz operasi masing-masing. Daripada Januari hingga Mei, 70.3% pemberhentian pekerjaan datang dari sektor ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.