Kita di tengah-tengah
Kebelakangan ini surat-surat pembaca di malaysiakini banyak yang menyentuh soal 'Islam' dan 'sekular'. Isu ini memang panas sekarang.
Ada yang mengatakan Malaysia negara Islam dan ada pula berpendapat Malaysia negara sekular. Di sini saya ingin mengetengahkan pendapat pensyarah saya Prof Dr Shad Saleem Faruqi untuk mata kuliah Perundangan Perlembagaan .
Dr Shad berpendapat yang Malaysia bukannya negara Islam, tetapi adalah tidak tepat juga untuk mengatakan Malaysia sebuah negara sekular. "Kita berada di tengah-tengah," katanya.
Alasan Malaysia bukannya negara Islam kerana Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan: 'This Constitution is the supreme law of the Federation and any law passed after Merdeka Day which is inconsistent with this Constitution shall, to the extent of the inconsistency, be void.'
Malaysia meletakkan Perlembagaan Persekutuan (dan bukannya Al-Quran dan Sunnah) sebagai undang-undang tertinggi. Ini bertentangan dengan Perlembagaan Pakistan misalnya, yang menyatakan jika ada mana-mana peruntukan dalam perlembagaan yang bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah, maka hendaklah kita kembali kepada Al-Quran dan Sunnah.
Tetapi di Malaysia, mana-mana undang-undang yang digubal selepas Merdeka walaupun selari dengan Al-Quran dan Sunnah, tetapi jika ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, ia boleh diisytiharkan 'tidak sah dan batal' .
Ini secara tidak langsung menunjukkan yang Perlembagaan Persekutuan lebih tinggi kedudukannya dan lebih berkuasa daripada Al-Quran dan Sunnah. Atas sebab ini, adalah tidak layak Malaysia disebut sebuah negara Islam.
Walau bagaimanapun, adalah tidak tepat juga untuk mengatakan yang Malaysia sebuah negara sekular. Ini kerana Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan: Islam adalah agama rasmi Negara, tetapi lain-lain agama boleh diamalkan secara aman dan harmoni.'
Dengan mengisytiharkan Islam sebagai agama Persekutuan, maka Malaysia tidak layak digelar negara sekular. Lagipun, Kerajaan Malaysia ada memperuntukkan sebahagian wang pembayar cukai untuk membiayai kegiatan-kegiatan berbentuk keagamaan seperti membina masjid (dan membayar gaji kakitangan masjid), menganjurkan pertandingan tilawah Al-Quran, dan membayar gaji kepada guru serta pensyarah untuk mengajar Pendidikan Islam di sekolah dan universiti.
Di negara-negara sekular seperti di Amerika Syarikat misalnya, wang pembayar cukai tidak boleh dibelanjakan untuk membiayai sebarang bentuk kegiatan keagamaan. Kerajaan Amerika Syarikat tidak mengeluarkan wang untuk membina gereja (gereja dibiayai oleh penduduk setempat), dan matapelajaran agama tidak diajar di sekolah serta universiti. Di Amerika Syarikat (dan negara-negara sekular yang lain), Tuhan adalah 'tidak berperlembagaan'!
Lantas, adalah tidak tepat untuk menggelarkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular kerana Perlembagaan kita mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, dan kerajaan juga membelanjakan wang pembayar cukai untuk membiayai kegiatan keagamaan. Dan tidak tepat juga untuk mengatakan Malaysia sebuah negara Islam kerana Malaysia meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi dan bukannya Al-Quran dan Sunnah.
Kita bukan negara Islam. Kita bukan negara sekular. Kita di tengah-tengah.

