Merujuk kepada surat Mohd Fauzi bertajuk 'Kejayaan bangsa sendiri jadi bahan jenaka' (13 Ogos), saya rasa dalam mengejar 'Wawasan 2020' dan semangat Malaysia Boleh! kita telah hilang sifat lucu dan jenaka kita. Kita telah hilang daya untuk mentertawakan diri kita sendiri. Dan kita mungkin telah hilang perspektif kehidupan itu sendiri.

Sebagai rakyat Malaysia saya juga berasa kagum dengan mana-mana pencapaian rakyat Malaysia yang boleh dikagumi. Bagi saya, tinggal dengan beratus kalajengking dalam sangkar bukanlah sesuatu yang saya idamkan. Dan jika ada sesiapa yang berminat untuk melakukannya, silakanlah. Tentunya tidak mengguris hati saya.

Tetapi kita perlu bertanya, apakah faedah tinggal dengan kalajengking begitu? Adakah lebih bahagia kehidupan, terutama di pedalaman, jika kita boleh berkongsi rumah bukan sahaja dengan kalajengking, malah beratus-ratus serangga yang terbang dan merayap?

Jika kemampuan tinggal dengan ratusan kalajengking membuktikan bangsa kita mempunyai daya fokus yang kental, tentunya baik, mungkin kita sudah bersedia untuk bersaing samarata dengan kaum-kaum lain, dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan dalam segala hal.

Rekod seperti ini perlu diletakkan ditempat yang sebenar; di ruangan serba-serbi, bukannya di laman utama. Jika pencapaian seperti itulah yang kita war-warkan, itu bermakna kita ketandusan pencapaian yang sebenar, yang bermakna.

Saya akan turut merasa bangga jika misalnya, Malaysia mempunyai kadar rasuah yang paling rendah di dunia.