Masyarakat akan terus menonton sandiwara kerajaan
Membaca kenyataan Perdana Menteri di dalam Berita Harian baru-baru ini begitu mencuit hati. Beliau kali ini berceloteh tentang wajarnya kerajaan mengeluarkan kertas putih berkenaan kegiatan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang popular sejak akhir-akhir ini dengan pelbagai nama lain.
Menurut Perdana Menteri kerajaan wajar mengeluarkan kertas putih berkaitan KMM supaya orang ramai boleh diberi pemahaman sebenar kegiatan kumpulan itu.
Dalam masa yang sama, kerajaan juga boleh menolak tohmahan pihak pembangkang bahawa KMM juga adalah satu lagi sandiwara kerajaan dalam usaha memantau pengaruh pembangkang yang kian kuat.
Namun begitu apa yang menghalang kerajaan mengeluarkan kertas putih itu, ialah kebimbangan ia akan mempengaruhi mahkamah. Sebelum ini juga Perdana Menteri pernah mengeluarkan kenyataan kes ini akan dibawa ke mahkamah (sedarkah beliau dengan kenyataan ini?)
Sesuatu yang menjadi persoalan di hati kita semua ialah:
* Bilakah mereka akan dihadapkan ke mahkamah?
* Dan jika mereka akan didakwa ke mahkamah apa perlunya kerajaan menggunakan ISA untuk menahan mereka sedangkan ada akta lain seperti akta menahan seorang pencuri basikal yang boleh dikenakan ke atas mereka?
* Kenapa mereka dilabelkan sebagai militan sedangkan ia masih dalam siasatan kerana jika mereka terbukti militan kerajaan tidak memerlukan tempoh yang begitu lama untuk mendakwa mereka di mahkamah. (Jelaslah militan hanya mulut kecoh akhbar pengampu kerajaan).
* Kenapakah Perdana Menteri bimbang kertas putih itu akan mengganggu siasatan atau ia akan mempengaruhi mahkamah kerana beliau dan kerajaannya memang berpengalaman dalam situasi itu berdasarkan pengalaman lalu berkaitan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau lagi, pembangkang kini sudah kering idea kerana hanya tahu menyalahkan kerajaan dengan menuduh segala bentuk kes jenayah kebelakangan ini sebagai sandiwara.
Sedarkah beliau bahawa pembangkang tidak bankrap idea kerana mereka hanya sebagai penonton dan bukannya pengarah?
Kerajaan adalah pengarah dalam situasi sekarang. Khalayak ramai memang sepatutnya memberi sepatah dua kata atau komen tentang sebuah lakonan yang baru ditontonnya.
Pergilah ke setiap panggung wayang anda pasti akan bertemu dengan komen yang hampir serupa dari zaman cerita P Ramlee hinggalah filem Dari Jemapoh ke Manchestee (sudahkah Perdana Menteri menontonnya?).
Khalayak penonton akan mengeluarkan ayat yang serupa, jika filem itu bagus mereka akan memujinya dan jika ia sesuatu yang teruk mereka akan mengutuknya.
Sekarang masyarakat menyaksikan bahawa setiap lakonan yang dipaparkan oleh kerajaan akhir akhir ini terlalu teruk, lucu dan menjijikkan. Maka berpadalah mereka mengatakan ia sebagai satu sandiwara kerana mereka hanya khalayak ramai yang menunggu satu demi satu lakonan arahan beliau sehinggalah beliau mengakui bahawa beliau sudah 'bankrap idea'.
Lagi pun Perdana Menteri sepatutnya akur dengan ketulusan dan belas ihsan pembangkang yang hanya mahu menyamakan ia sebagai satu sandiwara kerana Perdana Menteri tentu berasa hiba jika suatu hari nanti pembangkang akan menyifatkan pula ia sebagai lawak bodoh atau Jenaka Hang Setia. Selamat menonton.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.