Merujuk kepada tulisan Aman Rais bertarikh 27 September lalu yang bertajuk 'Ego Kit Siang, Karpal keluar BA', pelbagai kupasan menarik yang dapat diratapi bersama.

Satu-satunya hujah penulis yang wajar dihormati adalah berkenaan dengan bentuk kerjasama atau persefahaman yang boleh dibentuk antara DAP dengan Barisan Alternatif selepas ini. DAP dan BA perlulah menerima hakikat bahawa musuh sebenar yang patut ditangani bersama ialah Barisan Nasional. Walaupun DAP sudah keluar daripada pakatan BA, namun segala tindak-tanduk dan kenyataan kedua-dua pihak perlulah menjadikan BN sebagai sasaran, bukannya mewujudkan 'perang' sesama sendiri.

Pertandingan sesama sendiri yang berlaku dalam pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini seperti yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Pending (DAP/Keadilan) dan Samariang (PAS/Keadilan) perlulah dielakkan sama sekali. Malahan kenyataan media oleh kedua-dua pihak sepatutnya mengelakkan daripada sindir-menyindir dan kritik-mengkritik sesama parti-parti pembangkang.

Namun hujah lain penulis tidak berasaskan fakta dan dalil yang menasabah.

Pertama, kenyataan bahawa DAP adalah "parti chauvinist Cina" dan "berasaskan perjuangan perkauman sempitnya" merupakan tuduhan yang amat serius dan tidak berasas, malahan ia boleh menjurus kepada perbuatan menghasut.

Kedua, kenyataan bahawa DAP "sudah berada di hujung jalan" adalah suatu pandangan peribadi yang salah. Apakah fakta yang menunjukkan hakikat ini? Sudahkah kajian dilakukan sebelum kenyataan dibuat? Jika DAP yang baru meraikan ulangtahun ke-35nya dikatakan "di hujung jalan", hanya kerana mendapat 10 kerusi parlimen pada tahun 1999, bagaimana pula keadaan PAS ketika ia meraikan ulangtahun ke-35nya pada tahun 1986, dengan mendapat satu kerusi (Pengkalan Chepa)?

Ketiga, walaupun diakui bahawa sebagai sebuah parti politik, DAP memerlukan reformasi dalaman, namun apakah kepimpinan pengerusi Lim Kit Siang dan naib pengerusi Karpal Singh perlu disingkirkan? Malahan Kit Siang tidak wajar dilabelkan sebagai 'orang tua' kerana hanya berusia 60 tahun - masih ramai lagi pemimpin politik yang jauh lebih tua daripadanya.

Keempat, hujah bahawa DAP tidak dapat diterima oleh orang muda adalah kurang tepat. DAP mempunyai ramai pemimpin muda yang berusia 30-an dan 40-an seperti Kerk Kim Hock, Tan Kok Wai, Teresa Kok, Ronnie Liu, Teng Chang Khim dan M Kulasingam. Selain itu, apakah kita sudah lupa Fong Po Kuan yang merupakan ahli Dewan Rakyat paling muda?

Kelima, soal DAP menuding jari kepada cita-cita PAS menubuhkan negara Islam sebagai punca kekalahannya juga tidak timbul. Apa yang dihujahkan oleh DAP selama ini hanyalah dalil bukannya dalih! Kit Siang sendiri tidak pernah kalah di kawasan parlimen dari Kota Melaka, Petaling Jaya hingga Tanjung, namun tersungkur di Bukit Bendera. Kenapa tiba-tiba Karpal Singh boleh kecundang di Jelutong?

Selain itu, kegagalan DAP di Lembah Kinta dan Selangor berlaku kerana protes sulit pengundi Cina terhadap cita-cita penubuhan negara Islam oleh PAS. Isu penubuhan negara Islam telah dijadikan isu dan senjata paling penting MCA dan BN untuk menyerang DAP, ditambah pula dengan propaganda daripada media arus perdana.

Keenam, soal bahawa ramai anggota DAP yang kecewa akan menyertai Keadilan adalah sesuatu yang terlalu spekulatif untuk diperdebatkan. Apakah ada tanda-tanda bahawa terdapat pemimpin atau anggota DAP akan berbuat demikian dalam masa terdekat ini? Hujah bahawa ramai bekas pemimpin DAP yang penyertaan mereka ke Keadilan terpaksa ditolak atas dasar persefahaman antara komponen BA adalah terpesong daripada fakta. Bekas ahli DAP seperti Low Chee Chong, Sim Kwang Yang, Teoh Teik Huat, Gooi Hock Seng dan Dominic Ng telah diterima masuk oleh Keadilan, malahan diberikan layanan 'permaidani merah'. Begitu juga dengan penyertaan SK Soong ke PRM. Ini jelas menunjukkan dasar persefahaman itu telahpun dicabuli Keadilan dan PRM sejak dulu lagi. Apakah dasar persefahaman sedemikian yang ingin kita tegakkan?

Ketujuh, sememangnya PAS berhak merangka sendiri program untuk mendekati pengundi bukan Melayu. Namun sejauh manakah keberkesanannya masih menjadi tanda soal setakat ini. Walau bagaimanapun, hujah bahawa pengundi Cina lebih menghormati Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Seri Fadzil Noor atau Anuar Tan berbanding dengan Kit Siang atau Dr Chen Man Hin tidak lebih dari ingin menegakkan benang basah! Kemukakanlah dalil kenapa pengundi Cina lebih menghormati pemimpin PAS berbanding DAP. Buktikan dengan fakta untuk menyokong dakwaan ini.

Kelapan, walaupun kita diajar agar bercita-cita, namun setakat mana bercita-cita besar akan menguntungkan kita? Jika pada pilihanraya umum 1999, PAS, Keadilan dan PRM bercita-cita besar untuk menumbangkan BN di peringkat parlimen, tetapi cita-cita DAP hanyalah untuk menafikan majoriti dua pertiga BN. Walaupun, kedua-dua cita-cita itu gagal, namun ternyata cita-cita DAP lebih berpijak di bumi yang nyata. Kita perlu memahami dan mengakui bahawa perubahan memerlukan masa dan dilakukan secara berperingkat, malahan Rasulullah SAW ketika menyampaikan ajaran Allah juga secara beransur-ansur dan berperingkat. Cita-cita BA untuk menumbangkan BN di parlimen pada 1999 dilihat lebih sebagai impian yang tidak mungkin tercapai ketika itu.

Walaupun kita bersedih kerana BA kehilangan suatu komponen yang sangat penting, namun janganlah tuduhan-tuduhan liar dilemparkan terus ke DAP. Baik BA mahupun DAP, masih perlu mewujudkan suatu bentuk persefahaman untuk menghadapi pilihanraya umum ke-11. Hakikat bahawa BN merupakan musuh bersama perlu diakui oleh BA dan DAP.