Utusan Malaysia melaporkan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) membidas usul tergempar yang dibawa oleh ahli parlimen PAS mengutuk serangan Amerika Syarikat (AS) terhadap Afghanistan dengan mengatakan PAS hanya membawa usul itu ke parlimen untuk mencari keuntungan politik.

Saya amat kecewa dengan sikap ahli parlimen BN ini yang hanya tahu menghentam pembangkang tidak kira waktu dan keadaan. Sepatutnya usul yang begitu penting itu patut diberi sokongan tidak berbelah bagi oleh semua ahli dewan yang mengaku beragama Islam.

Mereka mengatakan usul itu sudah basi kerana perdana menteri telah menyatakan pendirian kerajaan menentang serangan AS tersebut. Sama ada perdana menteri telah menyatakan pendirian atau tidak, sepatutnya tidak menjadi soal kerana suara sepakat dari Dewan Rakyat adalah lebih lantang dari suara perdana menteri seorang.

Jika dilihat di England, walaupun perdana menterinya telah berkali-kali membuat kenyataan menyokong serangan dan juga mengambil bahagian dalam serangan bersama AS, parlimennya tetap membahaskan isu itu dan semua ahli parlimen tidak kira kerajaan atau pembangkang sebulat suara menyokong AS.

Sepatutnya ahli-ahli parlimen BN tidak memikirkan politik sempitnya sahaja di waktu begini tetapi berganding bahu sebagai umat Islam untuk menentang segala bentuk penindasan ke atas umat Islam.

Saya juga kecewa dengan kenyataan timbalan perdana menteri supaya rakyat negara ini tidak mengambil bahagian dalam perang Afghanistan-AS kerana ia mungkin dilihat sebagai mencampuri urusan negara itu.

Sebagai seorang pemimpin "negara Islam", timbalan perdana menteri sepatutnya lebih sensitif dengan nasib umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi juga diseluruh dunia. Nyawa umat Islam di Afghanistan sekarang ini dihujung tanduk.

Usaha kerajaan untuk membawa usul kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membincang perkara itu adalah dipuji tetapi sambil kita berbincang, tahukah kita berapa orang rakyat Afghanistan telah dibunuh oleh AS? Jika kita takut untuk membela nasib saudara Islam kita, janganlah kita menghalang orang lain yang berani.