Peristiwa pengambilalihan Nanyang Press oleh Huaren Holdings, sayap perniagaan MCA telah mendedahkan segala kepincangan dalaman MCA.

Apa yang berlaku ketika ini sebenarnya merupakan suatu ledakan terhadap perasaan tidak puas hati yang dipendamkan selama ini. Walaupun MCA dilihat semakin stabil dan mantap sejak Ling Liong Sik mengambilalih kepimpinan pada pertengahan 1980-an, MCA sebenarnya menghadapi pelbagai peristiwa yang dapat melemahkannya.

Ah Lek yang dilihat sebagai pemimpin yang popular di peringkat akar umbi. Berbanding dengan Ling, sikap Ah Lek memang jauh berbeza, walaupun masih sebagai Timbalan Presiden MCA, namun beliau memilih untuk tidak mempertahankan kerusi parlimen Bentong pada 1999. Ah Lek juga tidak menghadapi skandal besar sepanjang karier politiknya.

Pemilihan parti pada tahun 2002 dilihat sebagai medan pertempuran paling sengit yang akan menyaksikan perebutan di antara kumpulan yang pro-Liong Sik dengan kumpulan yang pro-Ah Lek. Siapakah yang akan menang, hanya para perwakilan MCA yang dapat menentukannya.

Walaupun Ling Liong Sik dilihat masih memiliki kelebihan berbanding dengan Ah Lek yang tidak berjawatan menteri dalam pemilihan itu, namun beberapa perkembangan terkini memungkinkan peluang Ah Lek semakin cerah. Malahan gabungan daripada puak Jui Meng yang berakar umbi di Johor, puak Tee Keat di Selangor, selain kekuatan Ah Lek di Pahang telah menjadikan perebutan jawatan Presiden MCA semakin terbuka.

Namun, yang pasti adalah gelora dalaman MCA akan berterusan, ledakan sedemikian dijangka akan berterusan sehingga pemilihan calon pilihanraya umum ke-11 kelak. Sejauh manakah pencapaian pilihanraya 1995 dan 1999 dapat diulangi, tunggu dan lihat!