Mengikuti ucapan pembentangan Belanjawan 2002 Jumaat lalu sekaligus itu mengingatkan saya kembali kepada mantan Menteri Kewangan dan mantan Timbalan Perdana Menteri yang telah disingkirkan sebelum ini.

Saya sedang memikirkan benarkah belanjawan ini adalah belanjawan yang 'paling mesra rakyat'. Seingat saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sudah beberapa kali belanjawan disifatkan sebagai mesra rakyat.

Suka juga saya merujuk pendapat Rozita dalam surat beliau, 'Siapa bela pekerja swasta?' (20 Okt). Saya amat bersetuju bahawa nasib pekerja sektor swasta seperti saya ini belum mendapat pembelaan sewajarnya berbanding dengan pekerja di sektor awam.

Penarikan semula sekatan pemberian bonus melebihi dua bulan adalah gimik sedangkan hakikat sebenarnya siapa yang peduli nasib ramai pekerja swasta yang telah kehilangan kerja dan bakal penganggur yang senasib dengan mereka ini? Mereka ini sekarang ada yang mencuba nasib menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Tentunya perniagaan kecil-kecilan. Sampai ke manakah mereka dengan hanya berharap kepada pendapatan daripada berniaga nasi lemak atau nasi bungkus untuk menampung perbelanjaan harian yang semakin meningkat?

Belanjawan 2002 terlalu digembar-gemburkan sebagai belanjawan mesra rakyat. Selain melihat kesan kenaikan harga petrol yang kita sediamaklum akan mengakibatkan peningkatan kepada harga barangan keperluan harian, saya tertarik untuk membicarakan tentang penurunan cukai.

Tindakan kerajaan menurunkan kadar atau memotong terus cukai-cukai tertentu memanglah sesuatu yang baik secara lumrahnya dan patut mendapat pujian. Apa lagi kalau cukai yang dipotong itu adalah cukai yang membebankan rakyat selama ini.

Contoh yang paling baik ialah apabila kerajaan Terengganu telah menghapuskan cukai pintu dan tol di negeri tersebut sejak tahun 1999 lagi. Tindakan itu berbaloi apabila ia mendapat sambutan yang baik dari rakyat biasa yang selama ini terbeban dengan cukai-cukai tersebut. Bukan sahaja menyebabkan rakyat bertambah yakin dengan kerajaan malah kerajaan nampaknya benar-benar ingin membela mereka.

Tetapi tidak semua tindakan menurunkan kadar atau menghapuskan sesuatu cukai itu akan mendatangkan kebaikan, apalagi untuk kebaikan rakyat. Secara khususnya, saya mempersoalkan kebijaksanaan langkah kerajaan menurunkan kadar atau mengecualikan cukai-cukai tertentu seperti cukai motorsikal berkuasa besar dan cukai ke atas kapal mewah.

Kenapa pengguna motorsikal berkuasa besar (yang tentunya diimport) diberikan keistimewaan ini mereka sudah tentu terdiri daripada golongan yang mampu membeli motorsikal besar? Saya percaya tindakan ini hanya akan mengakibatkan ambakan motorsikal import di negara ini.

Keduanya, kenapakah kerajaan memberikan pengecualian cukai selama lima tahun ke atas pendapatan syarikat kapal layar mewah?

"Sehubungan ini, bagi menggalakkan perkhidmatan penyewaan kapal layar mewah, saya mencadangkan supaya pendapatan syarikat daripada sewaan kapal layar atau kapal bermotor mewah, dengan izin, luxury yacht, diberi pengecualian cukai selama lima tahun," demikian kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan Belanjawan 2002.

Untuk menggalakkan apa sebenarnya? Hakikatnya, tidak ramai rakyat biasa dapat faedah daripada pengecualian cukai perkhidmatan ini. Kerajaan hendak galakkan kegiatan memancing ke?