Hak umum untuk bersuara mengenai MCA
Merujuk kepada tulisan LSH yang bertajuk 'Outsiders, stay out of MCA politics' pada 13 November, jelas bahawa hujah yang dikemukakan adalah sangat berat sebelah, bersifat mengampu serta ketidakprihatinan beliau terhadap keadaan politik sebenar di Malaysia.
Saranan itu patut ditolak sama sekali kerana:
Pertama, memang diakui semua parti politik termasuk MCA berhak menguruskan hal-ehwal parti masing-masing tanpa gangguan daripada mana-mana pihak luar. Namun, sebagai sebuah parti politik yang sentiasa menagih sokongan daripada orang ramai terutama daripada masyarakat yang diwakilinya, MCA wajar menerima dan mempertimbangkan setiap rungutan orang ramai.
Dengan itu, hujah bahawa bukan ahli MCA tidak berhak bersuara mengenai hal-ehwal parti dan patut berdiam diri tidak dapat diterima oleh akal yang berfikiran waras.
Tambahan pula, sejarah telah membuktikan MCA sendiri memerlukan campur tangan daripada Umno untuk menyelesaikan konflik dalamannya pada 1980-an. Maka, pemimpin dan ahli-ahli MCA kini sudah hilang kelayakan untuk menghalang orang ramai daripada memperkatakan tentang MCA, terutamanya dalam hal yang melibatkan kepentingan orang ramai.
Kedua, hujah bahawa MCA di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ling Liong Sik sudah mengumpulkan wang yang secukupnya untuk membeli Nanyang Siang Pau dan China Press demi kepentingan masyarakat Cina adalah tidak berpijak di bumi nyata. Apakah kita sudah lupa bahawa wang pembelian Nanyang Press Holdings adalah pinjaman daripada sebuah bank tempatan? Dalam kata lain Ling sebenarnya berhutang RM230 juta dalam soal pembelian Nanyang ini.
Tambahan pula, pembelian dua suratkhabar harian Cina itu dibuat atas kepentingan politik Ling dan pengikutnya. Sebaliknya masyarakat Cina yang menanggung kerugian kerana kebebasan bersuara terhakis dan disekat!
Ketiga, hujah bahawa pembaca malaysiakini memilih untuk mengecam MCA dalam soal pembelian Nanyang, tetapi tidak menyerang akhbar-akhbar yang dikawal oleh Umno, jelas memperlihatkan penulis tidak arif ketika meluahkan pendapatnya! Hujah sebegini turut terjumlah kepada kekecewaan dan irihati seorang adik terhadap kuasa dan pengaruh 'abang sulungnya'. Ini kerana MCA memang sejak dulu, kini dan selamanya mengikut jejak dan telunjuk Umno.
Penulis juga nampak kurang arif ketika mengeluarkan pendapat ini: Apakah beliau sudah lupa bahawa akhbar harian berbahasa Cina turut memainkan peranan sebagai medium luahan perasaan masyarakat Cina, maklumlah MCA memang mudah lupa!
Keempat, dua suratkhabar Cina yang dibeli oleh MCA itu adalah khazanah warisan generasi sebelumnya yang wajar dikekalkan dan dipelihara dengan sebaiknya. Ugutan penulis yang mencabar para pembaca agar tidak melanggannya lagi merupakan suatu tindakan yang kebudak-budakan dan wajar dikecam.
Kelima, soal bahawa akhbar yang dikawal oleh Umno memberikan ruangan yang lebih kepada Lim Ah Lek dan kumpulannya adalah suatu tuduhan yang tidak wajar. Ingin saya membalas hujah penulis ini dengan kata-kata Ling bahawa akhbar hanya menyiarkan berita-berita yang ada nilai penyiaran. Telanlah kata-kata ini dan renunglah sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang tuduhan.
Adalah kurang arif apabila media digunakan sebagai alat propaganda seperti yang dibuat oleh Ling dan juga tulisan seperti yang terkandung dalam surat 'Outsiders, stay out of MCA politics'. Gunakanlah media sepenuhnya untuk informasi dan kepentingan masyarakat dan negara.

