Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan takziah kepada Raja Permaisuri Agong Siti Aishah di atas kemangkatan Yang di Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Baginda dan ditempatkan di sisi mereka-mereka yang beriman.

Saya tidak berhajat untuk menambah duka dan kesedihan baginda Raja Permaisuri Agong dengan membangkitkan isu di bawah. Tujuan saya hanya sekadar ingin berkongsi pendapat dengan pihak-pihak yang mungkin lebih arif daripada saya tentang isu perlantikan Agong ini.

Pada malam kembalinya Baginda Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kerahmatullah, telah tersiar di dalam sebuah media perdana ulasan dua penyarah berhubung isu ini. Seorang yang berpangkat Dato' menjelaskan, kebiasaannya perlantikan dibuat mengikut giliran manakala seorang pensyarah lagi telah mengulas, perlantikan hanya boleh diputuskan selepas undian dibuat kepada mana-mana Sultan yang berhasrat untuk menyandang jawatan tersebut ataupun memilih kalangan Sultan yang lebih tua.

Namun begitu, menurut beliau kebiasannya perlantikan dibuat berdasarkan kepada giliran dan siapa yang bakal dilantik untuk memikul tanggungjawab sebagai Agong seterusnya bakal diputuskan oleh Majlis Raja-Raja yang akan bersidang dalam masa empat minggu.

Persoalannya sekarang, kenapa ianya mengambil masa yang agak lama untuk diputuskan sultan mana yang patut memikul tanggungjawab sebagai Agong dan kenapa isu perlantikan Agong ini perlu diperbesar-besarkan oleh media perdana kepada rakyat jelata?

Umum sudah mengatahui, bahawa Sultan Mizan iaitu Sultan Terengganu yang baru dilantik kini sedang memikul tanggungjawab tersebut. Secara logiknya, jika diikut dengan sistem penggiliran yang diamalkan selama ini, beliaulah sepatutnya yang ditabalkan sebagai Agong yang baru dan tidak perlu menunggu. Juga, secara otomatisnya perlantikan yang berdasarkan faktor usia gugur samasekali.

Pada pandangan saya, terdapat unsur-unsur politik kenapa isu ini hebat diperkatakan. Terengganu kini diperintah oleh parti pembangkang iaitu PAS dan Sultan Mizan dikatakan cukup memahami segala masalah atau kemelut yang melanda era politik negara sekarang.

Jika diamati dengan betul, perlantikan Peguam Negara yang baru juga turut mempunyai kaitan yang tersendiri dalam isu ini.

Andaikata Sultan Mizan dilantik sebagai Agong yang baru, sudah tentu Barisan Alternatif akan mengusulkan memorandum bagi mengulang bicara semula Dato' Seri Anwar Ibrahim serta membebaskan semua tahanan-tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).