Biar kita berani tegur pemimpin daripada pembangkang
Umno mesti diselamatkan dari kehancuran terutama dari dalam. Ramai pemimpin Umno terutama yang sudah lama memegang jawatan harus berundur. Berilah peluang kepada orang baru.
Bukankah mereka dan kroni mereka sudah kaya-raya, mempunyai berbelas-belas kereta mewah, rumah tersergam indah termasuk di luar negara, wang beratus juta ringgit dalam simpanan?
Rakyat dapat menilai yang mana kaca, yang mana permata. Mereka mahukan perubahan. Rakyat masih sayangkan Umno, cuma mereka rasa pemimpin lama patut ditukar. Berilah peluang orang baru. Baru ada proses peremajaan dalam parti. Kalau tidak, rakyat akan tolak Umno dalam pilihanraya akan datang.
Beri peluang kepada orang muda. Tengok macam peluang yang diberi kepada MB Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo. Sepatutnya lebih ramai lagi menteri besar baru dilantik, dari kalangan orang muda.
Sebab Khir Toyo dapat memerintah Selangor dengan baiklah maka pembangkang irihati. Mereka tahu kalau Khir terus menjadi MB, keempat-empat kerusi PAS dalam Dewan Undangan Negeri Selangor akan melayang. Mengapa pula Ahmad Lutfi buat laporan Badan Pencegah Rasuah?
Sayang sekali, agenda buruk pembangkang ini dikongsi oleh beberapa orang exco kerajaan Selangor. Mereka juga bertanggungjawab membekalkan maklumat kepada penulis upahan itu.
Dicadangkan supaya Khir membuat rombakan exco tidak lama lagi. Buang semua exco lama yang ada, sebab mereka ini depan saja senyum, belakang tikam ketua sendiri. Bagi saya, lebih baik semua sekali exco yang ada, yang busuk hati itu, yang tidak pernah rasa cukup dengan kekayaan yang ada, ditukarkan.
Balik isu asas saya di atas, yakni pemimpin veteran patut berundur saja. Begitu juga menteri-menteri besar yang lain yang telah lama memegang jawatan. Sebelum pembangkang mengeksploit khabar angin wujudnya kronisme, lebih baiklah kita undur sendiri.
Teguran yang saya buat ini mungkin mengejutkan kawan-kawan dalam Umno. Saya buat teguran ini demi untuk memastikan Umno terus relevan. Kalau mahu dikatakan saya pengkhianat, katakanlah, asalkan saya dapat memikul tanggungjawab untuk memperbaiki parti.
Saya harap pemimpin utama kita seperti Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad, Presiden Umno sendiri, faham niat dan keikhlasan saya ini.

