Apabila melihat senario pilihanraya Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) baru-baru ini, saya rasa terpanggil untuk meluahkan pendapat yang tidak seberapa.

Sebagai bekas pelajar IPTA, saya sendiri pernah melalui suasana hangat pilihanraya kampus. Seingat saya, ketika kali pertama saya dan rakan-rakan berada di kampus dahulu, kami sampai diugut akan disenarai hitamkan oleh pihak pengurusan sekiranya gagal keluar mengundi.

Oleh kerana masih lagi hijau dan agak penakut ketika itu, berduyun-duyunlah kami ini pergi mengundi, tanpa mengetahui siapa sebenarnya yang kami pilih. Pilihan hanya terletak kepada siapa yang berkarisma, kacak ataupun daripada fakulti sendiri.

Namun, setelah semakin dewasa dengan sepak terajang politik kampus, dan muak dengan tindak-tanduk mereka yang terpilih, pilihanraya kampus pada tahun-tahun berikutnya, sepi tanpa kedatangan kebanyakan daripada kami. Apalah ertinya mengadakan pilihanraya kalau calon yang terpilih itu hanya mementingkan kepentingan pihak tertentu sahaja?

Pada ketika itu, kebangkitan mereka yang berpihak kepada parti PAS amat ketara dengan hampir kebanyakan pelajar Islam mencemuh mereka yang tidak memilih mereka yang datang daripada Parti Mahasiswa Islam. Adik-adik tahun pertama 'diracun' dengan dakyah bahawa hanya mereka sahaja yang baik sedangkan calon lain yang lebih 'moderate' tidak Islamik.

Ini menimbulkan perasaan tidak senang di kalangan pelajar yang datangnya daripada kawasan bandar yang berfikiran agak sederhana. Pada masa yang sama, calon yang agak Umno pula kelihatan agak 'bongkak' dan juga menimbulkan kejelekan kami. Sudahnya, pilihanraya datang dan pergi.

Bila melihat senario terkini, saya sebanarnya tidaklah menyokong mahu pun menentang. Pada pandangan saya, para pelajar tidak harus dicemari dengan pandangan politik daripada mana-mana parti politik, baik kerajaan mahupun pembangkang. Biarlah mereka berfikir sendiri apakah corak politik kampus yang mereka ingini.

Sekiranya mereka disuap dengan pelbagai idea politik oleh mana-mana pihak, akhirnya mereka ini akan menjadi pelajar dan generasi yang boleh dipandu oleh sesiapa sahaja, dan takut berfikir dan membuat keputusan sendiri.

Rasanya ini bukan generasi yang wajar diberikan kepercayaan untuk memimpin negara suatu hari nanti.

Peraturan yang meletakkan calon-calon yang mempunyai kelulusan lebih 2.5 boleh bertanding boleh dikatakan kurang wajar. Ini kerana, 2.5 sebenarnya adalah satu gred yang amat minima kalaupun tidak sederhana. Mengapa perlu ada pemimpin yang sederhana sedangkan pelajar perlu mempunyai pemimpin yang bijak dan boleh dipandang tinggi.

Mungkin sukar bagi pelajar kini mendapat kelulusan 2.5 seperti kakak abang mereka dahulu. Malah, agak memeranjatkan bila menonton berita tempoh hari, kebanyakan pelajar mendapat kelulusan tidak sampai 2.0. Sungguh memalukan!

Kalau ada yang menentang tahap boleh bertanding ini, terpulanglah. Tapi rasanya kalau sudah keluar bekerja nanti, pastinya kita tidak mahu mempunyai pemimpin yang pendidikannya setakat sekolah darjah tiga dan pemikiran masih bagaikan katak di bawah tempurung. Bukan memperkecilkan, tetapi realitinya, pendidikan adalah sesuatu yang bukan sahaja boleh membuatkan kita menjawat jawatan yang tinggi, malah membolehkan kita menguasai pelbagai benda termasuklah menguasai manusia.