Sekalung tahniah kepada mereka yang mengecam pelaburan KWSP
Saya begitu terharu dengan pandangan Siva Subramaniam ("Smoking, gambling, drinking, drinking are not 'rights'", 1 Dis) kerana menyokong pandangan Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena, kerana mengecam kerajaan yang membenarkan KWSP melabur di dalam beberapa syarikat aktiviti rokok, arak dan judi.
Sekalung tahniah kerana melihat isu ini menerusi perspektif yang lebih terbuka dan luas. Isu ini tidak wajar dipolemikkan lagi kerana apa yang diperkatakan adalah jelas iaitu penggunaan wang rakyat untuk pelaburan di dalam aktiviti yang tidak sihat. Apakah kita tidak menganggap rokok, arak dan judi merupakan penyumbang besar kepada kemerosotan sosial muda-mudi pada masa kini sebagai sesuatu yang baik untuk masa depan negara kita?
Kerajaan sendiri melalui Kementerian Kesihatan telah menjalankan pelbagai aktiviti dan kempen untuk mendedahkan betapa bahaya rokok dan arak terhadap kesihatan. Ini mendedahkan 'kecelaruan' dasar kerajaan yang bersifat 'double standard'.
Begitu juga dengan arak dan perjudian. Semua agama menentang sesuatu yang bersifat memudaratkan. Ianya bukan isu penganut Islam sahaja.
Peningkatan gejala sosial diakibatkan arak dan judi adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan.
Kita perlu melihat isu ini dari konteks sosial, ekonomi dan kewangan. Kita mesti secara berani menganalisis sesuatu isu secara lebih terbuka.
Sekali lagi sekalung tahniah kepada pemimpin PAS dan BA yang sentiasa konsisten dalam memperjuangkan isu-isu kesejahteraan rakyat. Pendekatan politik mereka yang lebih terbuka dan telus adalah sesuatu yang baik untuk perkembangan politik Malaysia. Kita perlukan kepimpinan baru yang lebih telus, amanah dan bermoral tinggi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.