Rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan pengumuman kenaikan kadar tol oleh Menteri Kerjaraya S Samy Vellu baru-baru ini. Apa tidaknya, ini adalah kenaikan kali kedua yang melibatkan pengangkutan di negara ini, setelah harga minyak petrol dinaikkan sebanyak 10 sen seliter pada penghujung bulan Oktober.

Kerajaan Barisan Nasional yang berkuasa telah mendapatkan mandat baru pada penghujung tahun 1999, ini bermakna terdapat tiga tahun lagi untuk kerajaan yang ada sekarang 'memohon' mandat baru daripada para pengundi. Ini berdasarkan peruntukan undang-undang bahawa pilihanraya umum akan diadakan lima tahun sekali. Namun, BN di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad lazimnya akan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan membubarkan parlimen enam hingga 12 bulan sebelum penggal parlimen berakhir.

Berdasarkan jangkaan ini, pilihanraya umum ke-11 hanya akan diadakan pada penghujung tahun 2003, maknanya ada dua tahun lagi. Atas perkiraan ini, maka inilah masa yang terbaik untuk kenaikan tol, walaupun pada zaman kegawatan dan kemelesetan ekonomi. Masalah dan kesempitan rakyat dengan ramai graduan yang masih menganggur tidak dijadikan perkiraan atau pertimbangan dalam soal kenaikan seperti ini.

BN tahu, selepas dua tahun (menjelang pilihanraya seterusnya) rakyat Malaysia yang mudah lupa akan melupakan soal kenaikan yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2002 ini. Menjelang pilihanraya, BN hanya perlu membangkitkan dan mengagung-agungkan soal pembangunan dan kestabilan selama ini sebagai modal kempen mereka. Dengan bantuan dan propaganda media massa, kempen sebegini telah digunakan selama ini oleh BN untuk terus berkuasa.

Percayalah pengundi yang maha pelupa tidak akan mempersoalkan kenaikan ini pada pilihanraya seterusnya. Tetapi, persoalannya, apakah inilah kerajaan yang kita mahukan untuk kita dan generasi seterusnya?