Suasana berkempen di saat-saat akhir untuk pemilihan tiga sayap Umno – Pemuda, Wanita dan Puteri – memanaskan suasana bangunan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pagi ini.
Sejak awal pagi, penyokong calon masing-masing kelihatan beredar sekitar bangunan itu, terutamanya sekitar ruang legar utama, berdekatan dengan skrin besar yang memaparkan suasana seputar perhimpunan itu.
Bagaimanapun kempen merebut jawatan ketua Pemuda antara Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir kelihatan lebih rancak berbanding dua lagi pergerakan.
Penyokong tegar ketiga-tiga calon itu berkumpul di Dewan Tun Hussein Onn - tempat Pemuda Umno berhimpun sebelum mengundi 11 pagi ini - sambil menyanyikan lagu "Inilah Barisan Kita" dan "Allah Selamatkan Kamu" beramai-ramai.
Mereka juga sahut-menyahut melaungkan nama calon masing-masing – KJ (Khairy), Khir Toyo dan Mukriz.
Bagaimanapun poster Dr Mohamad Khir bertulisan "Pemuda Berani" kelihatan mendominasi kawasan tersebut.
Penyokong tiga calon itu memakai kemeja T dengan nombor calon, gambar dan nama pemimpin pilihan masing-masing.
Sementara itu, penyokong calon-calon Wanita dan Puteri kelihatan lebih selesa dengan "kempen senyap".
Mereka mengedarkan kad bertulis nama dan nombor calon mereka kepada orang ramai, termasuk kepada perwakilan dan media.
Ketiga-tiga ketua pergerakan itu telah selesai menyampaikan ucapan masing-masing pagi ini dan kini sedang menjalankan pengundian untuk jawatan-jawatan yang dipertandingkan.
Gerai pakaian
Sementara itu, seperti tahun-tahun sebelum ini peniaga-peniaga ketika ini sibuk menjual produk dan barangan masing-masing
Lebih daripada 20 gerai yang menjual pakaian, kain songket, kain batik dan kain sutera menjadi tumpuan para perwakilan dan pengunjung-pengunjung wanita.
Sebentar tadi, tinjauan Malaysiakini, mendapati sebahagian daripada peniaga dan perwakilan sedang tawar harga.
Kebanyakan gerai yang menjual pakaian ini, terletak di tingkat bawah Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC) dan dibahagian luar bangunan tersebut.
Selain gerai yang menjual pakaian terdapat juga agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Tindakan Perlancongan Putrajaya dan Labuan turut serta mengambil bahagian mempromosikan destinasi perlancongan di kawasan masing-masing.
Gerai-gerai makanan dan minuman yang berniaga di luar dewan, penuh dengan pengunjung apabila mereka menikmati hidangan makanan tengahari sementera menunggu keputusan pemilihan ketiga-tiga sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri.
