Jentera penerangan Umno lemah
Kekalahan Umno dalam pilihanraya umum lalu turut disebabkan oleh beberapa faktor luaran, termasuk kelemahan jentera penerangan parti, kata perwakilan Negeri Sembilan.
Kelemahan tersebut, tegas Datuk Firdaus Harun, mengakibatkan Umno gagal untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Membahas ucapan dasar presiden di perhimpunan agung Umno hari ini, beliau memberi contoh isu kenaikan harga minyak.
"Pembangkang juga turut mengeksploitasi isu-isu semasa, contohnya, dengan mempersoalkan isu berkaitan bidang kehakiman," tambahnya
Oleh itu, beliau mencadangkan agar pelan pemulihan radikal dilaksanakan, termasuk menjenamakan semula Umno supaya teguh dan kuat.
"Kedua, parti mesti menguasai kerajaan. Dasar-dasar kerajaan harus dibincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) terlebih dahulu, dengan mendapat maklum balas akar umbi, sebelum dilaksanakan
"Jawatan-jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun hendaklah menempatkan ahli-ahli yang sayangkan Umno," katanya.
Akar umbi pilih pemimpin
Ketiga, tegas Firdaus, perlembagaan Umno harus dipinda dengan kuasa memilih pucuk pimpinan ditentukan di peringkat bahagian.
"Ini bermakna, 50,000 hingga 60,000 perwakilan akar umbi akan memilih pemimpin di peringkat negeri dan negara," katanya.
Keempat, tambahnya, jabatan kerajaan seperti Kemas dan Jabatan Penerangan harus diberikan peranan yang lebih berkesan.
"Contohnya, kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh jabatan kerajaan harus dihebahkan kepada akar umbi," tambahnya.
Kelima, menurutnya, berusaha menggalakkan anak muda menyertai Umno dengan menawarkan kursus untuk meningkatkan jati diri dan patriotisme mereka.
Katanya, kursus tersebut perlu diberikan kepada para pelajar ketika hendak melanjutkan pelajaran di luar negara serta selepas mereka pulang ke tanahair.
Hak istimewa Melayu
Di samping itu, Firdaus juga mencadangkan supaya diadakan seminar mengenai sejarah perjuangan Umno bagi ahli-ahli yang baru menyertai parti itu.
Sementara itu, beliau juga mahu tindakan undang-undang yang tegas diambil terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab mempertikai hak istimewa Melayu
Beliau berkata, tiada sebarang kebaikan mempertikaikan perkara itu, tetapi sebaliknya ia merosakkan dan menghancurkan keamanan negara.
"Kalau perlu, tahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)," tegasnya.
Firdaus juga mencadangkan agar Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional dinaikkan taraf menjadi sebuah kementerian bagi memupuk perpaduan di seluruh peringkat.
"Jabatan ini juga harus meningkat perpaduan kaum dan menjalankan kajian dengan kerjasama universiti tempatan," tambahnya.

