Pergerakan Media Bebas (FMM) Sri Lanka mendesak kerajaan Malaysia agar membenarkan Malaysiakini.com menghadiri majlis kerajaan dengan alasan menurut undang-undang di sini, akhbar web tidak memerlukan permit.

"FFM menggesa Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) membenarkan Malaysiakini.com mendapat kemudahan membuat liputan yang sama bagi semua acara penting (kerajaan)," kata pengerusi kumpulan itu, Victor Ivan, dalam suratnya kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Satu salinannya dihantar kepada kumpulan-kumpulan aktivis media di peringkat antarabangsa, Ifex (Pertukaran Kebebasan Bersuara Antarabangsa) Action Alert Network semalam.

FFM mengulas laporan akhbar yang menyebutkan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung yang mengumumkan bahawa semua wartawan malaysiakini dilarang membuat liputan sebarang majlis anjuran kerajaan dengan alasan akhbar web itu "sangat mengkritik kerajaan" dan tidak memiliki kad perakuan akhbar.

Kumpulan wartawan itu juga menyifatkan permit penerbitan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai satu langkah untuk menapis maklumat penting yang sepatutnya diketahui oleh orang ramai.

"FFM menggesa Yang Amat Berhormat (Dr Mahathir) mengarahkan KDN dan agensi-agensi kerajaan yang terbabit agar memberikan hak kepada malaysiakini agar dapat menjalankan tugas tanpa halangan dan gangguan kerajaan," kata Ivan lagi.

"FFM yakin dalam negara demokrasi, rakyat sebaik-baiknya didedahkan kepada pelbagai idea yang terbuka dan tanpa penapisan."

Menurut FFM lagi, Chor juga dilaporkan bercadang mengambil tindakan terhadap malaysiakini jika akhbar web itu mendapat bantuan wang daripada Institut Masyarakat Terbuka (OSI) yang dimiliki oleh spekulator mata wang terkenal George Soros.

Sebelum ini, Persatuan Akhbar Asia Tenggara (Seapa) pernah menghantar surat bantahan kepada kerajaan Malaysia berhubung hal ini, selain kenyataan parti-parti pembangkang dan Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami) di negara ini.