Kementerian Dalam Negeri akan terus memantau kumpulan dan organisasi yang telah dikenalpasti menghasut untuk membenci dan bertindak ganas terhadap kerajaan.

Bagaimanapun, KDN tidak akan mengumumkan kumpulan-kumpulan terbabit sehingga tamat siasatan dijalankan oleh kementerian itu.

Timbalan Menteri Datuk Zainal Abidin Zin berkata demikian hari ini semasa sessi soal jawab lisan Ahli Parlimen Kerk Kim Hock (DAP - Kota Melaka) yang meminta KDN menyatakan mana-mana kumpulan yang dikenalpasti menghasut kerajaan dan tindakan yang akan diambil.

"Kerajaan mempunyai maklumat tentang pertubuhan-pertubuhan ini, (bagaimanapun) KDN tidak berhasrat mengumumkan kegiatan mereka kerana masih memantau (kumpulan terbabit)," jelas Zainal dalam sidang parlimen pagi tadi.

Beliau yang merupakan wakil rakyat Bagan Serai mengulas bahawa bukan sahaja pertubuhan tidak berdaftar terbabit dalam aktiviti menghasut rakyat membenci kerajaan, malah pertubuhan-pertubuhan berdaftar turut dikenalpasti, sambil memberi contoh parti pembangkang juga terlibat dalam aktiviti itu.

Zainal menyebut undang-undang yang boleh digunakan untuk tujuan itu antaranya Akta Pertubuhan dan Akta Hasutan.

Bagaimanapun Kerk tidak berpuas hati dengan jawapan Timbalan Menteri itu, yang didakwa "jawapan tidak bertanggungjawab daripada pihak kerajaan", sambil mengulas kenyataan Ketua Polis Negeri Perak, Datuk Syed Abdul Rahman Abdul Kadir pada 8 September lalu bahawa pihak polis sedang memantau 11 kumpulan pelampau, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia itu, pihak polis dilaporkan berkata telah memberi amaran kepada kumpulan-kumpulan terbabit selain mengawasi kegiatan mereka.

Abdul Rahman turut menjelaskan terdapat beberapa kumpulan yang akan didakwa di mahkamah dalam sedikit masa lagi kerana menimbulkan kebencian di kalangan rakyat terhadap kerajaan, ulas sumber itu lagi[#1] (NGO nafi tohmahan 'menentang kerajaan'[/#], 14 Sept).

Royalti bukan alasan benci kerajaan

Dalam sessi soalan tambahan itu, Kerk turut menjelaskan bahawa pihak pembangkang tidak bertujuan menanamkan perasaan benci kepada kerajaan tetapi memandangkan kepada isu seperti royalti minyak dan peruntukan projek-projek rakyat kepada ahli parlimen pembangkang di Terengganu menyebabkan rakyat bangkit mempersoal isu tersebut.

Kerk kemudian meminta pihak kerajaan menjalankan satu siasatan bebas berhubung perkara itu.

"Kita telah menjawab beberapa perkara yang dipersoalkan," ulas Zainal terhadap soalan tambahan itu.

Beliau bagaimanapun mengulas kenyataan yang disebut oleh Kerk berhubung laporan akhbar itu tidak perlu diumumkan lagi kerana telah diketahui umum. "Kita hanya mengemukakan perkara-perkara yang belum diketahui," ujar beliau.

Zainal menjelaskan royalti minyak tidak boleh dijadikan alasan untuk membenci kerajaan dan sekiranya pemimpin Terengganu tidak berpuas hati mereka boleh mengemukakan perkara tersebut di mahkamah. Penjelasan beliau diikuti tepukan meja daripada barisan kerajaan.

Sementara itu Datuk Dr Jamaluddin Mohd Jarjis (BN-Rompin) dalam sessi soalan tambahan mendakwa terdapat pihak yang bertopengkan NGO atas perjuangan hak asasi kemanusiaan tetapi bertindak menghasut dan membenci kerajaan.

Zainal berkata drama seperti ini juga dibuat oleh parti pembangkang dan pihak polis hanya akan mengambil tindakan apabila siasatan dijalankan.

"Apabila tindakan diambil kepada mereka, jangan berkata ini satu penindasan, kezaliman. Mereka jangan berselindung di sebalik NGO. (Mereka) perlu bertanggungjawab kepada apa yang mereka katakan," jelas Zainal lagi.