Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perhimpunan agung khas Umno 13 Oktober
Diterbitkan:  Apr 21, 2009 8:23 PM
Dikemaskini: 12:38 PM

Perhimpunan agung Umno 2009 akan berlangsung pada 13 hingga 16 Oktober depan - khas untuk membincangkan pindaan perlembagaan Umno bagi membolehkan ahli memilih kepimpinan tertinggi parti secara serentak di 191 bahagian.

Pindaan tersebut merupakan janji Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak dalam ucapan sulung sebagai presiden Umno pada 28 Mac lalu.

Pada masa ini, pemilihan Umno dibuat oleh kira-kira 2,500 perwakilan Umno, iaitu 13 orang dari setiap bahagian Umno dari seluruh negara.

Menurut Umno online , Umno kini mempunyai lebih 3 juta ahli. Selepas pindaan tersbut, ahli UMNO akan mengundi memilih pemimpin secara serentak di semua bahagian.

Perhimpunan khas itu juga akan mengkaji semula kuota pencalonan bagi jawatan tertinggi parti.

Pada masa ini, calon bagi jawatan presiden memerlukan 30 peratus atau 59 pencalonan, timbalan presiden (20% atau 39 pencalonan), naib presiden (10% atau 20 pencalonan) dan Majlis Tertinggi (5% atau 11 pencalonan).

Sehubungan itu, ibupejabat Umno telah mengeluarkan pekeliling pada 15 April lalu, memaklumkan bahawa persidangan tahunan Umno di peringkat cawangan bagi 2009 akan bermula pada 15 Mei hingga 30 Jun depan.

Manakala bagi persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat cawangan juga akan diadakan pada tarikh yang sama.

Persidangan tahunan peringkat bahagian, termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri, ditetapkan pada 16 Julai sehingga 16 Ogos depan.

ADS