Mahkamah keluar waran tangkap RPK
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin kerana gagal hadir di mahkamah untuk perbicaraan kes hasutan.
Raja Petra, 57, berdepan dengan tuduhan menghasut berhubung satu artikel yang bertajuk 'Let's send the Altantuya murderers to hell' yang disiarkan dalam lamanweb Malaysia Today.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksima RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Raja Petra dan isterinya, Marina Lee Abdullah - yang menjadi penjaminnya - tidak kelihatan apabila mahkamah bersidang pada jam 9.25 pagi ini.
Apabila Hakim Rozina Ayob bertanya mengenai tertuduh, peguambela J Chandra memaklumkan kepada mahkamah mengenai artikel dalam lamanweb Raja Petra, Malaysia Today, di mana penulis blog itu menulis bahawa beliau tidak akan hadir di mahkamah.
Menurut tulisan tersebut, Raja Petra berkata, beliau kini "hidup dalam buangan" dari Selangor dan oleh itu tidak dapat hadir di Petaling Jaya, tempat mahkamah tersebut berada.
Raja Petra mendakwa beliau berselisih dengan istana Selangor dan keluarganya kerana mengkritik Sultan Perak awal bulan lepas. Ekoran itu, beliau memutuskan untuk "hidup dalam buangan" dari Selangor.
Mendengar perkara itu, Rozina bertanya sama ada terdapat perintah bertulis dari pihak istana supaya Raja Petra hidup dalam buangan, dan Chandra menjawab beliau tidak tahu.
DPP Shahidani Abd Aziz kemudiannya memohon supaya dikeluarkan waran tangkap terhadap Raja Petra serta notis tunjuk sebab kepada Marina - selaku penjaminnya - yang turut tidak hadir di mahkamah hari ini.
Chandra memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu mengapa Marina tidak hadir hari ini.
Rozina kemudiannya bersetuju untuk mengeluarkan waran tangkap tersebut. Beliau kemudiannya menetapkan 22 Mei depan untuk mendengar mengenai waran tangkap dan notis tunjuk sebab itu.
Kini muncul khabar angin Raja Petra telah meninggalkan negara ini bersama isterinya. Maklumat ini bagaimanapun tidak dapat disahkan.
Para penyokong penulis blog yang hadir di mahkamah hari ini berkata mereka juga tidak tahu di mana Raja Petra berada sekarang.
Berita lanjut menyusul

