Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PENA: Penentangan PPSMI tidak bermotif politik
Diterbitkan:  Apr 28, 2009 11:55 AM
Dikemaskini: 4:06 AM

Penentangan terhadap dasar pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak bermotifkan politik kerana sudah lebih enam tahun golongan ahli bahasa, penulis dan cendekiawan, menyuarakan pandangan mereka secara sabar dan sopan, kata Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Datuk Baharuddin Zainal.

"Isu PPSMI telah berkembang ke tahap kedua apabila berlakunya penyertaan ahli politik dalam tunjuk perasaan yang digerakkan oleh golongan ahli bahasa, penulis dan cendekiawan," katanya dalam satu kenyataan hari ini

Lanjutannya, tegas Baharuddin, ada pemimpin politik kerajaan menjadikan penyertaan ahli politik sebagai alasan untuk menyelar penentangan tersebut.

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang dianggotai oleh pejuang pendidikan, tokoh bahasa, sasterawan serta ahli-ahli parti politik, menjadi penggerak utama kempen supaya dimansuhkan PPSMI.

Malah, isu PPSMI turut dibawa ke pentas kempen beberapa pilihanraya kecil sebelum ini - bermula dengan Kuala Terengganu - hingga ke pilihanraya Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau, dan bakal diketengahkan sekali lagi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti 31 Mei depan.

"PENA yang sejak Jun 2002, secara terbuka, melalui kenyataan akhbarnya, menentang PPSMI, tetap dengan pendirian asalnya bahawa PPSMI perlu dimansuhkan segera sebelum isu ini mendatangkan implikasi pendidikan, sosial dan politik yang lebih buruk.

"Sudah demikian banyak memorandum, hasil penyelidikan ilmiah, forum dan persidangan diadakan.

"Dan dengan demikian, sudah cukup banyak maklumat, dapatan ilmiah, dan pendapat disampaikan oleh kelompok budayawan dan ilmuwan kepada Kementerian Pelajaran," tegasnya.

Baharuddin berkata, sikap kementerian pelajaran yang menangguh-nangguhkan keputusan selama ini, sangatlah mengecewakan.

"Sedangkan PPSMI telah menjadi isu kebangsaan yang berat sehingga menimbulkan pemikiran bahawa kementerian pelajaran tidak cekap dan pantas menangani masalah, dan tidak sensitif terhadap suara-suara jujur dan rasional rakyat," katanya.

Beliau berkata, sempena pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pelajaran, "PENA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dengan iringan doa restu agar beliau dirahmati Allah dengan sikap perjuangan kebangsaan yang tinggi, menghormati warisan dan agama sebagai akar dan asas kemodenan bangsa, dan menempuh kejayaan yang cemerlang".

PENA sekali lagi, katanya, menyeru Muhyiddin memansuhkan PPSMI dan memulihkan kembali peranan dan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains di sekolah rendah dan sekolah menengah kebangsaan.

"Keputusan PENA ini bukan sahaja berasaskan premis bahawa PPSMI memberi natijah buruk kepada perkembangan kognitif dan keadilan pendidikan majoriti anak-anak dari keluarga biasa di luar bandar dan di pinggir bandar, tetapi yang lebih berbahaya PPSMI sedang meminggirkan Bahasa Kebangsaan negara sebagai bahasa ilmu moden," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS