Persatuan Ulama Malaysia terpaksa menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja mengenai tulisan yang didakwanya menghina Islam selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) gagal mengambil sebarang tindakan walaupun telah menerima aduan PUM lebih setahun lalu, presiden PUM Ghani Shamsudin berkata hari ini.

Pada mulanya kami mahu Jabatan Agama Islam mengambil tindakan tanpa rasa gentar atau pilih kasih terhadap mereka yang melanggari undang-undang dengan menghina Islam, Rasul dan ulama, termasuk para mufti yang dilantikan oleh Raja-Raja.

Aduan dibuat terhadap penulis Akbar Ali dan Farish A Noor tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

Kami membuat aduan terhadap Akbar Ali kepada Jabatan Agama Islam Selangor pada 26 Disember 2000, iaitu 14 bulan lalu, tetapi hingga sekarang, tiada sebarang berita mengenai sebarang tindakan selepas aduan dibuat, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, Akbar Ali terus menulis kolum dalam akhbar perdana, menghina mufti yang dilantik oleh Raja-Raja dan ulama, katanya sebagai menjawab tulisan Dr Chandra Muzaffar dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk Ulama, Dominasi dan Perubahan dan Dominasi Terhadap Agama, yang disiarkan pada 20 dan 21 Februari lalu.

Ghani juga merujuk kepada tulisan Dr Chandra bertajuk Biarkan pintu berdialog terus terbuka, dan Semua mempunyai hak berbincang mengenai Islam, yang disiarkan dalam akhbar New Straits Times pada tarikh yang sama.

Siasat aduan

Katanya Dr Chandra jelas gagal memahami alasan dan tujuan sebenar PUM menghantar memorandum tersebut kepada Majlis Raja-Raja, apabila beliau menuduh PUM menolak sama-sekali untuk berdialog dengan penulis terbabit.

Ghani berkata dengan merujuk perkara itu kepada Majlis Raja-Raja, PUM berharap tindakan akan diambil bagi memastikan Jabatan Hal-Ehwal Islam negeri, yang terletak di bawah kawalan ahli politik, menjalankan tugas secara jujur dan cekap tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.

Kami terkejut bila Dr Chandra mengatakan penulis terbabit tidak bersalah atas dakwaan menghina Islam. Sepatutnya beliau tidak menjatuh hukuman, tetapi sebaliknya perlu meminta pihak berkuasa menyiasat aduan-aduan itu dan memutuskannya, katanya..

Menurutnya, Dr Chandra mesti sedar bahawa bukan beliau atau PUM yang sepatutnya memutuskan isu-isu yang dibangkitkan dalam aduan yang dibuat itu, tetapi forum sewajarnya adalah Mahkamah Syariah.

Kita tidak sepatutnya merampas fungsi itu dengan menyaran supaya diadakan dialog mengenai perkara yang terletak dalam bidang kuasanya.(Mahkamah Syariah), katanya.

Ghani berkata dengan menghantar memorandum itu kepada Majlis Raja-Raja, PUM berharap diwujudkan panel atau forum untuk membincangkan isu-isu yang membabitkan pentafsiran Quran dan Sunah.

Contohnya, Dr Chandra, dalam tulisannya, cuba membuktikan bahawa majoriti ulama tersilap dalam pentafsiran mereka mengenai ayat-ayat al-Quran berkaitan dengan hukuman ke atas orang murtad dan poligami.

Beliau berhak menyatakan pendapatnya itu, dan kami menghormati haknya itu. Tetapi akhbar bukanlah media yang sesuai untuk berbincang dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu seperti itu kerana ia memerlukan pengetahuan luas mengenai undang-undang Islam dan yang terpenting sekali ialah aspek keagamaan mereka yang membincangkannya, katanya.

Penal pakar

Sebaliknya, kata beliau, sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan pentafsiran Quran dan Sunah yang sedia ada, sepatutnya diberi peluang mengetengahkan pandangannya kepada penal berkenaan, yang dianggotai ulama, dan pakar dalam bidang ilmu masing-masing, untuk dipertimbangkan

Melalui mekanisme ini, kita akan dapat mencapai kata sepakat mengenai perkara yang berkaitan dengan masyarakat Islam tanpa menimbul sebarang keraguan di kalangan umat Islam, katanya.