Minta maaf, tarik balik rencana, Pemuda PAS arah Harakah
Dewan Pemuda PAS pusat hari ini menuntut supaya pihak pengarang Harakah meminta maaf dan menarik balik penyiaran rencana pengarang sisipan bahasa Inggeris lidah rasmi PAS itu yang mengkritik ulama dalam Persatuan Ulama Malaysia (PUM).
Ketuanya Haji Mahfuz Omar berkata, rencana pengarang dalam keluaran terbaru Harakah hari ini tidak langsung menjawab isu sebenar yang ditimbulkan pelbagai pihak, akibat penyiaran rencana pengarang itu, yang turut mendedahkan PAS kepada fitnah.
Bagi saya penjelasan ketua pengarang Harakah Zulkifli Sulong hanya berligar kepada persoalan sama ada ulama boleh ditegur, sedangkan isu itu tidak berbangkit sama sekali, katanya.
Dalam rencana pengarangnya dalam keluaran terbaru Harakah , Zulkifli berkata akhbar itu tidak akan berganjak daripada pendiriannya bahawa ulama boleh dikritik kerana ianya selaras dengan pendirian PAS sendiri.
Katanya: Bagi kita ulama boleh dikritik, itu pendirian kita. Pertama, yang tidak boleh dikritik adalah Nabi. Kedua, perkara yang dibawa oleh ulama daripada Nabi juga tidak boleh dikritik.
Contoh MB
Zulkifli memberi contoh menteri besar Terengganu, yang juga timbalan presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menerima sendiri memorandum yang dihantar oleh Kelab Wartawan Terengganu yang mengkritik kepimpinan beliau.
Memorandum itu, katanya, mengandungi bantahan kelab itu terhadap sikap kerajaan negeri termasuk menteri besar sendiri, yang gemar mengecam wartawan dan pengamal media massa ketika berucap di khalayak ramai.
Zulkifli menyifatkannya sebagai satu contoh yang klasik dan jelas mengenai sikap para pemimpin ulama PAS yang sedia menerima kritikan secara terbuka.
Bagaimanapun, kata Mahfuz apa yang dipersoalkan ialah apakah perlunya rencana pengarang itu disiarkan kerana ia memberi tanggapan bahawa ulama tidak boleh kritik, seolah-olah PUM tidak bijak di samping mempersoalkan siapakah mereka sehingga berhak becakap mengenai Islam.
Ini adalah gambaran yang tidak betul. Rencana pengarang berkenaan memberi penjelasan tidak tepat mengenai tujuan sebenar Persatuan Ulama Malaysia menghantar memorandum kepada
Majlis Raja-Raja mengenai penulis-penulis yang menghina Islam, katanya.
Telus, terbuka
Menurutnya, ulama dalam PUM telah bangkit untuk mempertahankan maruah Islam akibat serangan penulis-penulis berkenaan secara peribadi terhadap Nabi Muhammad dan sekaligus menyerang serta mencaci ulama.
Apa yang dipapar dalam penulisan mereka bukan mencambah ilmu Islam tetapi fitnah dan mencemuh Islam dan Nabi sendiri. Kemaksuman Nabi ada nasnya.
Jadi apabila penulis itu berkata Nabi berzina dengan 15 perempuan, mereka seperti menyamakan Nabi dengan orang biasa, katanya.
Saya akan mengirim surat kepada pihak pengarang Harakah petang ini supaya akhbar itu meminta maaf dan menarik balik rencana pengarang berbahasa Inggeris itu.
Harakah perlu menunjukkan ketelusan dan sikap terbuka dalam hal ini, Mahfuz berkata.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.