PKFZ: PM serah kepada Tee Keat
kemaskini 8.08pm Perdana menteri mengarahkan kepada menteri pengangkutan agar menjelaskan setiap persoalan dalam laporan audit skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
"Saya nak minta Datuk Seri Ong Tee Keat membuat penjelasan kepada setiap perkara yang dibangkitkan oleh mana-mana pihak dalam audit report itu. Boleh rujuk kepada dia.
"Dia akan beri segala penjelasan," Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga presiden Umno, dipetik berkata selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) hari ini.
Laporan audit PKFZ oleh firma audit PricewaterhouseCoopers (PwC) dikeluarkan sepenuhnya kepada umum semalam menerusi laman web PKA.
Siasatan mengenai hab pindah kapal PKFZ seluas 405 hektar itu dimulakan selepas ia mendedahkan bahawa kos pembangunannya telah melonjak daripada kurang RM2.5 bilion pada asalnya kepada RM4.6 bilion, lapor Bernama .
Mesyuarat MT melantik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed ebagai pengarah pilihan raya kecil Manek Urai, Kelantan antara 6 hingga 14 Julai ini.
Mustapa bertanggungjawab mengenai operasi serta keputusan seharian pilihanraya DUN tersebut - dibuat susulan kematian penyandangnya Ismail Yaacob, Jumaat minggu lalu.
Mengulas calon BN di kerusi tersebut, Najib dilaporkan berkata:
"Saya menunggu syor daripada badan perhubungan Umno Kelantan. Bila sampai masanya, kita akan umum. Ada masa lagi."
"Kita tak tetap apa-apa kriteria, kita nak calon yang terbaik," Najib berkata apabila ditanya kriteria calon yang dikehendaki BN.
MT juga menerima penyertaan kembali Tun Dr Mahathir Mohamad, isterinya Tun Dr Hasmah Ali dan anak mereka Datuk Mokhzani bersama parti itu.
Mereka bertiga menyerahkan borang permohonan pada 4 April lalu, sehari selepas Najib mengangkat sumpah secara rasmi sebagai perdana menteri keenam.
Najib juga mengumumkan perhimpunan agung Umno 2009 antara 13 hingga 16 Oktober ini dimulakan dengan mesyuarat agung khas untuk
meminda perlembagaan parti.
Tambahnya, draf cadangan pindaan itu hampir siap dan akan diedarkan kepada badan-badan perhubungan Umno negeri untuk mendapatkan ulasan serta pandangan mereka.
"Seterusnya, MT Umno akan membuat ketetapan tentang
peruntukan-peruntukan yang akan dipinda dan seterusnya akan dibentangkan dalam mesyuarat agung khas," katanya.

