Umno sudah pulih: Muhd Taib
Kekuatan Umno sudah pulih setelah pucuk pimpinannya mengambil iktibar daripada pengalaman pahit masa lalu dan tidak lagi mengulangi kesilapan yang telah melemahkan Umno sebelum ini, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.
Menurutnya, petanda yang paling ketara ialah kemenangan besar calon Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan di Perlis, yang sebahagian besar undinya adalah sumbangan Umno.
Kalau kita tengok di Indera Kayangan, Umno memainkan peranan besar dalam membantu memenangkan calon BN. Kita tidak menafikan sumbangan parti komponen lain, tetapi untuk pertama kalinya sejak 1999, Umno seolah-olah pulih dan mempunyai kekuatan seperti sebelum 1999.
Dalam pilihanraya itu, BN menang di semua peti undi. Buat pertama kalinya kita menang di Guar Syed Alwi yang merupakan lubuk kuat parti PAS. Walaupun wujud krisis dalam MCA, tetapi mereka telah memperlihatkan semangat mementingkan kestabilan politik BN, katanya dalam wawancara khas dengan malaysiakini baru-baru ini.
Menurutnya, perubahan ini amat ketara sekali jika dibanding sebelum ini di mana Umno bukan sahaja ditentang oleh parti-parti pembangkang, tetapi ia juga menghadapi penentangan daripada ahli parti sendiri.
Sebagai contoh katanya, majoriti 41,000 yang diperolehi oleh calon BN bagi kawasan Parlimen Shah Alam dalam pilihanraya umum 1995, telah merosot kepada 1,500 sahaja dalam pilihanraya 1999. (Terdapat 27,000 ahli Umno di kawasan tersebut.)
Saya nampak, terutama pada akhir-akhir ini, berlaku satu arus di mana mereka kembali semula menyokong parti kerana faktor dalaman dan luaran. Ini termasuklah sebab pergolakan dalam parti pembangkang sendiri seperti Keadilan dan imej PAS yang kini tidak begitu disenangi oleh sebilangan pengundi, tertuma pengundi Cina dan India, katanya.
Dasar kerajaan ubah
Menurutnya, perubahan sikap itu ada kaitannya dengan dasar-dasar perbelanjaan kerajaan yang lebih tertumpu kepada usaha menyediakan lebih banyak infrastruktur untuk masyarakat luar bandar.
Kalau sebelum 1999, tumpuan lebih kepada projek gergasi, tetapi sejak Dr Mahathir Mohamad mengambil alih Kementerian Kewangan, saya nampak cara perbelanjaan itu sudah berubah, dan kembali semula ke kawasan luar bandar, seperti pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dulu.
Wang dibelanjakan untuk membina jalan baru, mencantikkan semula surau, membina parit dan jambatan. Lebih RM2 bilion telah dibelanjakan untuk projek-projek berkenaan terutama dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu. Begitu juga layanan kerajaan terhadap 800,000 kakitangannya dengan memberi kenaikan gaji, bonus dan melanjutkan tempoh persaraan, katanya.
Dengan pemulihan kekuatan Umno itu, Muhammad Taib yakin bahawa BN kini mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menawan semula Kelantan dan Terengganu daripada tangan PAS.
Pemimpin diberi tempat
Katanya, kekuatan Umno di Kedah juga sudah pulih selepas ada usaha untuk memberi tempat semula kepada pemimpin yang dahulunya berkecil hati dengan pucuk pimpinan parti.
Saya nampak ada satu usaha untuk memberi tempat balik kepada pemimpin ini kerana mereka masih diperlukan dan ketaatan mereka kepada parti adalah yang terpenting, kerana isu pada tahun 1999 banyak melibatkan isu Anwar Ibrahim.
Bagaimanpun, kini ia (Anwar) tidak lagi menjadi isu yang besar. Walaupun PAS cuba meluaskan pengaruhnya di Kedah, tetapi saya yakin Umno negeri telah mengukuhkan semula kekuatannya. Dengan kekuatan itu dan kelemahan pembangkang, saya percaya ia lebih berpihak kepada Umno kali ini, katanya.
Mengenai pengganti Dr Mahathir sebagai presiden Umno dan Perdana Menteri, Muhammad percaya ia akan berjalan licin dan merupakan satu perubahan yang aman.
Kerana peristiwa tahun 1987 (Dr Mahathir dicabar Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan presiden), kita telah kehilangan Kelantan. Dan krisis pada tahun 1998 (pemecatan Anwar) kita telah kehilangan Terengganu. Saya tidak fikir kali ini kita mahu melihat satu lagi krisis melanda Umno, katanya.

