Keadilan restui hasrat Zainur lepaskan jawatan parti
Keadilan merestui hasrat peguam Zainur Zakaria untuk melepaskan semua jawatan dalam parti itu bagi membolehkan beliau menumpukan sepenuh masa terhadap profesion guamannya.
Menurut sumber yang rapat dengan Keadilan, profesion guaman Zainur terganggu sejak beliau terbabit secara aktif dalam parti itu serta menjadi salah seorang peguambela dalam perbicaraan terhadap bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau memang berhasrat untuk melepaskan jawatan dalam parti sejak lama dahulu. Bagaimanapun, ketika itu, pemimpin parti telah memujuknya supaya menangguhkan dahulu hasratnya itu, kata sumber itu.
Menurutnya, walaupun pihak parti itu tidak menyatakan secara rasmi pendiriannya mengenai perkara ini, pucuk pimpinan Keadilan memahami keadaan Zainur dan merestui hasrat beliau untuk meletak jawatan partinya.
Akhbar Berita Harian melaporkan hari ini bahawa Zainur bertindak melepaskan semua jawatan dalam Keadilan bukan disebabkan masalah kesihatan seperti yang diberitakan dalam akhbar lain, sebaliknya kerana berselisih pendapat dengan beberapa pemimpin kanan parti itu.
Zainur yang merupakan pengerusi Keadilan Wilayah Persekutuan dan juga bekas naib presiden parti itu, sebelum ini dilaporkan telah menyerahkan surat perletakan jawatannya itu kepada presiden Keadilan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada bulan lalu.
Akhbar itu juga memetik sumber-sumber sebagai berkata Zainur berbuat demikian kerana sedar prinsip perjuangannya tidak lagi seiring dengan apa yang diamalkan oleh beberapa pemimpin kanan Keadilan.
Tiada perselisihan
Mengulas laporan berkenaan, sumber malaysiakini berkata selama ini tidak pernah wujud perselisihan pendapat di antara pimpinan parti dan Zainur.
Malah Zainur merupakan salah seorang penyokong cadangan penggabungan parti Keadilan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Pada kami, keputusan Zainur lebih kepada hasratnya untuk menumpukan sepenuh masa mengamalkan profesion guamannya, kata sumber itu.
Cadangan penggabungan Keadilan-PRM telah menjadi isu sewaktu pemilihan pucuk pimpinan parti Keadilan yang berlangsung di Terengganu tahun lalu. Pemilihan itu menyaksikan ramai calon pro Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), yang dikatakan menentang cadangan penggabungan itu, tewas dalam pertandingan bagi jawatan utama parti.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.