Persatuan Ulama Malaysia (PUM) tidak pernah mengambil pendirian penyokong perjuangan politik PAS, kata presiden PUM Haji Ghani Shamsudin.

Pendirian PUM selaku sebuah badan bukan kerajaan (NGO) adalah untuk menyokong usaha-usaha menegakkan syiar Islam di negara ini. Kerana itulah timbul anggapan bahawa PUM pro PAS, beliau memberitahu malaysiakini hari ini.

Haji Ghani menafikan sekeras-kerasnya tuduhan sesetengah pihak bahawa PUM merupakan kuda tunggangan PAS.

Sambil menegaskan bahawa PUM bukan sebuah badan yang cenderung kepada politik, beliau berkata persatuannya sentiasa bekerjasama dengan semua badan yang berkaitan dengan Islam di negara ini.

Ditanya mengapa selama ini, teguran-teguran yang dibuat oleh persatuan lebih ditujukan kepada Umno sekiranya PUM tidak pro PAS, beliau berkata: Ia kerana Umno mempunyai kuasa kerana ia merupakan parti pemerintah. Kerana itulah kami membuat demikian apabila ada perkara yang harus ditegur.

Oleh itu, katanya, adalah tidak adil bagi mana-mana pihak, termasuk media arus perdana, untuk mentafsirkan tindakan PUM itu sebagai petanda ia menyokong PAS.

Sekiranya kami pro PAS mengapa baru-baru ini akhbar Harakah yang merupakan lidah rasmi parti itu, telah mengkritik hebat tindakan PUM mengemukakan memorandum terhadap beberapa penulis yang menghina Islam kepada Majlis Raja-Raja?

Majlis penerangan

Baru-baru ini PUM membuat aduan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan serta menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja mengenai dakwaan bahawa beberapa penulis telah membuat kenyataan kontroversi mengenai Islam.

Ghani berkata, PUM sedang membuat persiapan untuk menjemput beberapa pertubuhan Islam untuk menghadiri majlis penerangan berhubung tindakan PUM membuat aduan terhadap penulis-penulis terbabit.

Majlis penerangan itu perlu diadakan bagi membolehkan mereka mendapat maklumat dan gambaran mengenai apa yang sebenarnya berlaku, katanya.

Ghani mendakwa isu berkenaan telah diputarbelitkan oleh sesetengah pihak hingga menimbulkan tanggapan bahawa PUM tidak mahu berdialog dengan pihak lain mengenai perkara itu.

Katanya, majlis penerangan itu kemudiannya akan diperluaskan kepada badan bukan Islam di negara ini.