Umno tenggelam dalam era maklumat?
Sejurus selepas pilihanraya umum lalu, Umno telah meletakkan fitnah melalui Internet sebagai antara penyebab utama kemerosotan prestasinya. Sesungguhnya bagi Umno, era maklumat (EM) yang menjanjikan kilauan nikmat telah mengundang musibah yang tersirat.
Apakah "pengeras" yang sepatutnya dilangsaikan dahulu oleh Umno apabila menerima teknologi ajaib ini? Mampukah parti itu bersaing di persada yang begitu mencabar? Apakah faktor-faktor kritikal yang mencorakkan EM? Siapakah "pemain" utamanya? Ibarat menyertai suatu pertandingan, wira Umno wajib mengenali medannya sebelum bertarung.
Rencana ini merujuk hasil kajian David Alberts dari Institut Kajian Strategi Kebangsaan, Daniel Papp dari Kajian Sam Nunn mengenai Hal-ehwal Antarabangsa, dan John Arquilla, penganalis kanan di RAND dan kumpulan kajian perang maklumat. Semuanya bukan sekadar ahli teori, tetapi pakar tersohor dalam bidang masing-masing.
Terdapat empat faktor kritikal yang menjadi asas EM, iaitu peningkatan capaian, kelajuan dan kuantiti maklumat; kedua, perubahan struktur organisasi daripada bentuk berhiraki kepada bentuk berangkaian; ketiga, peningkatan ketelapan kedaulatan sempadan negara, dan keempat, kemunculan "pemain" baru di persada antarabangsa.
Pertama, peningkatan akses, kelajuan dan kuantiti maklumat. Teknologi maklumat (IT) yang semakin murah dan mesra-pengguna, menjadikannya bukan lagi monopoli golongan elit, tetapi kemudahan untuk orang kebanyakan. Dengan percambahan pusat maklumat, maka tercetuslah fenomena "pendemokrasian maklumat", di mana maklumat boleh disebarkan kepada semua tanpa mengira taraf sosial.
Dengan peningkatan kos-keupayaan komputer peribadi (PC), kelajuan dan kuantiti penyaluran data turut meningkat dengan mendadak. "Komputer pada tahun 2010, sebesar PC hari ini, akan mempunyai keupayaan pengkomputeran yang sama dengan komputer induk pada hari ini, pada kos yang sama dengan PC hari ini" ujar John Dewar, seorang penganalisa di RAND.
Kesannya, pengaruh ceramah kerajaan serta "media rasmi" lain sebagai sumber maklumat mutakhir kian terhakis, lantaran rakyat kebanyakan kini yang boleh mengakses maklumat alternatif - dengan lebih cepat dan menyeluruh - melalui PC di rumah, pejabat atau kafe siber.
Namun kelebihan ini ada harganya. Dalam medium canggih itu sendiri, maklumat sebenar akan bercampur-aduk dengan maklumat songsang ibarat watak cerita Jekyl-Hyde, lantas meracuni minda mereka yang mudah terpedaya.
Kedua, perubahan struktur organisasi dari bentuk berhiraki kepada bentuk berangkaian. Apabila monopoli maklumat oleh pihak berkuasa pusat seperti kerajaan telah roboh, individu kebanyakan boleh menganalisa dan menafsir sendiri sesuatu maklumat. Lantas individu ini mampu bertindak bersendirian tanpa perlu menanti "pengiktirafan" pihak berkuasa seperti sebelumnya.
Keupayaan "berfikir dan bertindak" secara berautonomi, antara kelompok individu yang mempunyai kecenderungan yang sama inilah yang mencetuskan pembentukan organisasi baru - organisasi berangkaian.
Maklumat adalah kuasa. Memandangkan organisasi berangkaian lebih anjal menyesuaikan diri terhadap ledakan EM, maka merekalah yang mendapat agihan kuasa maklumat yang lebih besar berbanding dengan organisasi berhiraki seperti kerajaan.
Semua ini menyumbang kepada peningkatan pengaruh badan bukan kerajaan (NGO) satu organisasi berangkaian dalam percaturan politik tempatan dan antarabangsa.
Ketiga, peningkatan ketelapan sempadan berdaulat negara. Pengaliran bebas maklumat secara sejagat, menjadikan sempadan berdaulat negara kian telap kepada idea alternatif, lalu mengubah lanskap politiknya.
Ini diperlihatkan dalam keupayaan media asing menyalurkan berita secara masa nyata - berserta perspektif mereka sendiri - kepada rakyat tempatan. Ia mendorong negara konservatif seperti China untuk cuba mengawal Internet.
Keempat, kemunculan "pemain" baru di persada antarabangsa. Memandangkan EM menggalakkan percambahan gerakan berangkaian di samping mengagihkan kuasa maklumat yang lebih besar kepada mereka, maka pihak NGO-lah yang mendapat "durian runtuh".
Namun pengaruh NGO ke atas politik persekitaran berbeza kerana ia juga ditentukan oleh populariti agenda yang mereka perjuangkan, selain kekuatan material dan dedikasi ahli-ahli mereka sendiri.
Lihatlah NGO di Malaysia, dahulunya sekadar organisasi pinggiran tetapi melonjak saham politiknya apabila mengeksploitasi gelombang antikerajaan yang dicetuskan oleh isu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berdasarkan faktor-faktor yang dihuraikan, maka "pemain" utama yang akan mempengaruhi penguasaan Umno di EM kini adalah orang Melayu itu sendiri, NGO dan media asing.
Namun, "pendedahan" yang dihuraikan ini bukan satu penemuan baru. Malah, ia telah dibicarakan dalam pelbagai forum terbuka antarabangsa lebih tiga tahun dahulu, yakni, ketika kerajaan mula mempromosikan projek Koridor Raya Multimedia (MSC). Terlenakah kepemimpinan dan think-tank Umno tatkala ia sedang hangat diperdebatkan?
Benar, Umno tiada mukjizat menilik seperti Nabi Khaidir, namun ia tiada alasan untuk menggelabah dalam menangani kemelut politik yang dicetuskan oleh EM kerana segala siren amaran telah lama wujud.
Hakikatnya, sentimen membangkang orang Melayu kini bukan hanya bertunjangkan alasan tangkap muat seperti hilangnya sifat tahu bersyukur ataupun mudah termakan retorik pembangkang.
Sebaliknya, sentimen itu adalah lanjutan daripada kesan sosiopolitik EM - natijah kealpaan Umno sendiri - yang bukan sahaja menyediakan senjata untuk membangkang (Internet), malah memupuk minda orang Melayu menjadi autonomous, dan sukar diperbudakkan lagi.
Kealpaan Umno ini menonjolkan suatu ketidakseimbangan dalam keutamaan - menekankan hanya habuan material daripada EM - sambil memandang enteng kos politiknya. Lantas ia mencetuskan satu kepincangan moral politik.
Tanpa keseimbangan moral untuk mengharungi gelombang EM, kepincangan Umno ini akan membenamkannya ke dasar kehancuran.
Dr A. M TAUFIK GHAZALI ialah seorang penulis bebas yang pernah bertugas bersama Pergerakan Pemuda Umno Malaysia. Bagaimanapun, tulisan ini merupakan pandangan peribadi beliau. Tulisan ini siri pertama dalam siri rencana yang memperincikan politik tanahair di era maklumat. Beliau mengalu-alukan maklum balas membina daripada sebarang pihak.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.