Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz: Nasha ke Manek Urai boleh 'bersihkan namanya'
Diterbitkan:  Jul 9, 2009 6:56 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Setelah ketidakhadiran Nasharuddin Mat Isa di Manek Urai menjadi buah mulut ramai, akhirnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempelawa timbalan presiden PAS itu untuk turut sama berkempen.

Menteri besar Kelantan juga mengakui bahawa pada peringkat awal beliau tidak mahu Nasharuddin datang berkempen atas alasan strategi politik, lapor Bernama .

Namun sekarang, tambahnya, beliau menganggap peranan Nasharuddin masih diperlukan bagi menghadapi Umno dalam kempen pilihanraya kecil DUN tersebut - yang sedang berjalan hingga Selasa.

"Saya tidak mahu dia datang pada hari pertama itu kerana khuatir akan dicerca ketika berucap atau berceramah. Memanglah saya tak bagi dia mari, sebab kalau di-boo sayapun rasa malu," Nik Aziz dipetik berkata di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.

Ketiadaan Nasharuddin semasa hari penamaan calon bagi mengiringi calon PAS Mohd Fauzi Abdullah, Isnin lalu, menimbulkan tanda tanya di kalangan pengundi Manek Urai dan pemerhati politik.

Nik Abdul Aziz, yang juga mursyidul am PAS, berharap kehadiran Nasharuddin nanti dalam menolong parti itu dan sekali gus membersihkan namanya susulan kontroversi kerajaan perpaduan.

"Saya harap dia (Nasharuddin) dapat datang ke Manik Urai untuk turut berkempen dalam pilihan raya kali ini, kerana untuk membersihkan nama baik beliau selain kehadirannya penting untuk berkempen bagi pihak PAS," kata Nik Abdul Aziz lagi.

"Sekarang saya sudah benarkan dia datang, nak tebus nama baik dia sendiri, berikutan isu kerajaan perpaduan dan macam-macam kemelut dalam PAS."

Agensi berita itu juga melaporkan, Nik Abdul Aziz berasa hairan mengapa Nasharuddin tidak hadir Isnin lalu dan menyifatkan tindakan Nasaruddin itu "sebagai satu kesilapan".

Nasharuddin dijangka akan berceramah satu pentas dengan Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lama lagi seawal-awalnya esok di pasar Kampung Laloh jika tiada aral.

ADS