Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) enggan berbincang mengenai kadar empat peratus pinjamannya yang didakwa "riba", dakwa satu persatuan pelajar hari ini.

"Pihak Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) telah menjemput wakil PTPTN untuk berdialog secara tertutup berkenaan beberapa isu riba yang berlaku dalam pinjaman. Tetapi pihak PTPTN telah berdolak-dalik untuk bertemu dengan mahasiswa," kata Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Muhammad Faisal Abdul Rahman dalam satu kenyataan.

Menurutnya, PMUM menghubungi tabung pendidikan itu untuk mengadakan perjumpaan tersebut pada Jumaat lepas tetapi PTPTN menolak dengan alasan badan itu memerlukan masa untuk mendapatkan pakar bagi menjawab soalan-soalan yang berbangkit.

Ketika dihubungi hari ini, Muhammad Faisal berkata PTPTN tidak bersedia berjumpa dengan pelajar jika pertemuan itu bersifat diolag dan badan itu akan berjumpa untuk memberikan taklimat sahaja.

Awal bulan lepas, PMIUM dan beberapa persatuan pelajar di universiti tempatan menghantar memorandum kepada beberapa agensi kerajaan, termasuk Kementerian Pendidikan, dan mendakwa kadar itu mengandungi unsur "riba" yang bertentangan dengan kaedah pinjaman Islam.

Menurut Faisal lagi, tabung pendidikan itu juga tidak bersedia memberikan penjelasan kepada wakil Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini berhubung perkara yang sama apabila pegawai PTPTN melawat kampus itu.

Jumaat lepas, Persatuan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (PMUPM) menyerahkan memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi bagi mendesak kerajaan menghapuskan kadar empat peratus itu.

"(Kadar itu) diragui berunsurkan riba, terlalu membebankan dan sangat tidak relevan dengan yang diberikan kepada pelajar-pelajar," kata Presiden PMUPM Che Zakaria Che Ali.

Persatuan pelajar itu juga menggesa pinjaman itu ditukarkan kepada biasiswa sepenuhnya atau sebagai 'pinjaman boleh ubah' seperti yang diberikan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).