Nik Aziz kecewa kerana tidak dibenar baca khutbah: Umno Perlis
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, dikatakan kecewa apabila beliau tidak dibenarkan oleh ahli jawatankuasa Masjid Guar Syed Alwi untuk membaca khutbah ketika berlangsungnya kempen pilihanraya kecil Indera Kayangan di Perlis, Januari lalu.
Ketua Penerangan Umno Perlis, Haji Abu Bakar Ismail mendakwa pada mulanya pihak PAS merancang supaya Nik Aziz dapat membaca khutbah untuk menarik pengundi Melayu di kawasan itu mengundi calon Keadilan.
Turut bersembahyang Jumaat di masjid berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahdan Kassim.
Pada mulanya penyokong PAS di situ mahu menjemput Nik Aziz membaca khutbah. Bagaimanapun, ahli jawatankuasa masjid berkenaan tidak membenarkannya kerana di Perlis, hanya mereka yang diberi tauliah boleh berbuat demikian, tambah Haji Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pauh, Perlis.
Sebagai jalan tengah, katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hamid Zainal Abidin telah diminta membaca khutbah pada hari berkenaan.
Haji Abu Bakar menegaskan demikian ketika ditanya mengenai tayangan video klip di RTM di mana Nik Aziz telah menggunakan perkataan barua terhadap Hamid yang membaca khutbah di masjid berkenaan.
Katanya, Nik Aziz yang dianggap sebagai ulama oleh penyokong PAS tidak sepatutnya menggunakan perkataan barua, terutama kepada Datuk Hamid yang merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap hal-ehwal Islam di negara ini.
Saya rasa beliau (Nik Aziz) bertindak demikian kerana kecewa apabila jawatankuasa masjid berkenaan tidak membenarkan beliau membaca khutbah pada hari berkenaan, tambah Haji Abu Bakar.
Berkempen secara senyap
Mengenai pilihanraya kecil Ketari di Bentong, Pahang, Haji Abu Bakar berkata, walaupun PAS tidak menunjuk muka pada hari penamaan calon Ahad lalu, tetapi secara senyap-senyap parti itu berkempen untuk calon DAP di kawasan majoriti Melayu.
Bagaimanapun, beliau yakin calon Barisan Nasional (BN) akan menang memandangkan DAP dijangka tidak akan mendapat sokongan pengundi Melayu seperti dalam pilihanraya 1999 ketika parti itu masih menganggotai BA.
BN mendapat sokongan padu daripada pengundi majority Melayu seperti di Mempaga, Janda Baik, Ketari dan Benus. Kita juga yakin pengundi bukan Melayu di kawasan majoriti Cina, seperti di Perting, Ketari Tengah dan Sungai Dua, katanya.
Pilihanraya kecil pada March 31 merupakan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Yum Ah Ha dan Choong Siew Onn dari DAP. Ia berikutan kematian wakil BN, Datuk Loke Koon pada 3 Mac lalu kerana menghidap barah rahang.
Kawasan pilihanraya Ketari mempunyai seramai 17,357 pengundi 54 peratus pengundi China, 38.9 peratus Melayu dan 7 peratus lain-lain.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.