mk-logo
Berita
PAS menang nyawa-nyawa ikan
Diterbitkan:  Jul 14, 2009 9:09 AM
Dikemaskini: Jul 15, 2009 4:50 AM

kemaskini 8.58pm Keputusan rasmi Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan, menang dengan majoriti "nyawa-nyawa ikan" sebanyak 65 undi.

PAS mendapat 5,348 undi sementara calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5,283 undi.

Keputusan tersebut diumumkan oleh pegawai pengurus pilihanraya Adnan Hussin di Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, pada jam 9.01 malam.

DUN tersebut mempunyai 12,293 pengundi berdaftar, termasuk 25 pengundi pos, dan 10,631 atau 87 peratus keluar mengundi hari ini.

Beberapa pemimpin atasan PAS hadir di pusat penjumlahan undi di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Mereka termasuklah Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa; ahli parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli; ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad bagi merayakan kemenangan Mohd Fauzi.

Bagaimanapun, tiada seorang pemimpin utama Umno yang hadir, termasuk pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan calon BN.

kemaskini 8.22pm Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah melangkah longlai keluar dari bilik gerakan utama parti di Manek Urai.

NONE Beliau dalam perjalanan menuju ke tempat penjumlahan undi di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Menurut sumber parti itu, PAS meraih 5,347 undi, BN pula mendapat 5,283 undi dan majoritinya tinggal 64 daripada 1,352 undi yang diperolehi pada pilihanraya umum lalu.

kemaskini 8.19pm Keputusan rasmi PAS mendapat 4,335 undi, sementara BN pula 4,299 undi.

Lima peti undi belum sampai di tempat penjumlahan undi di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang menanti ketibaan peti-peti sebelum membuat pengumuman rasmi.

Majoriti setakat ini 36 undi.

kemaskini 8.13pm

Keputusan rasmi PAS mendapat 3,092 undi, sementara BN pula 2,747 undi.

Majoriti setakat ini 345 undi.

kemaskini 7.59pm

PAS didakwa menang dengan majoriti 65 undi tetapi akibat majoriti terlalu tipis, pengiraan semula dijangka akan dijalankan.

bm version kerusi dun manek urai 220509 Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata BN sedang berusaha agar kiraan semula diadakan.

"Kiraan pertama dan kedua sangat, sangat berbeza," katanya melalui Twitter sebentar tadi.

kemaskini 7.51pm

Jika berlaku pengiraan semula di beberapa daerah mengundi, keputusan malam ini mungkin lebih lewat diketahui.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimami solat di bilik gerakan utama PAS di Manek Urai.

Suasana serius di sini setelah agen-agen PAS dari tempat mengundi pulang dengan keputusan masing-masing.

kemaskini 7.39pm

Menurut sumber Twitter Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kemenangan BN "semakin terserlah."

"Keputusan tidak rasmi kelihatan rasmi dari minit ke minit. Kemenangan BN semakin terserlah," katanya.

kemaskini 7.34pm

PAS mempamerkan di layar besar di bilik gerakannya dengan angka parti itu tersebut meraih 5,363 undi, manakala BN mendapat 5,293 undi.

PAS mendapat kelebihan 70 undi.

kemaskini 7.24pm

BN mendahului Manek Urai Baru dan Manek Urai Baru, PAS pula mendahului di Late Rek dan Chuchoh Puteri daripada sembilan daerah mengundi.

Daerah-daerah lain: Temalir, Sungai Peria, Sungai Sok, Manjor dan Laloh

NONE kemaskini 7.10pm Sekumpulan penyokong BN di bilik operasi parti itu di Manek Urai kelihatan bergembira "atas kemenangan" calon mereka Tuan Aziz Tuan Mat.

Ada sumber menyatakan kemenangan sebanyak "30 undi", sementara terdapat sumber menyebut "200 undi".

Calon BN dan pemimpin BN tidak kelihatan di situ.

Menurut sumber Twitter Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, BN mendahului 38 undi.

kemaskini 5.09pm Pengiraan undi bagi DUN Manek Urai akan bermula seawal-awalnya jam 5.30 petang yang melibatkan semua 27 saluran di sembilan pusat pembuangan undi.

Calon BN Tuan Aziz Tuan Mat cuba merampas kerusi tersebut yang dipertahankan oleh calon PAS Mohd Fauzi Abdullah dalam persaingan agak sengit sehingga mencetuskan pergaduhan para penyokong.

Peratus keluar mengundi sehingga pukul 5 petang tadi, setelah proses pengundian tamat, 87.3 peratus daripada 12,293 orang atau 10,736 pemilih menunaikan tanggungjawab.

Keputusan rasmi akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat penjumlahan undi di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai seawal-awalnya jam 8 malam ini.

Wartawan Malaysiakini: Kuek Ser Kuang Keng, Hafiz Yatim, Jimadie Shah Othman, Wong Teck Chi, Ng Kok Fong dan Amiruddin Abdullah.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini